NAIB Presiden UMNO, Ismail Sabri Yaakob mencabar kerajaan mengharamkan Dong Zong atas dasar menyelamatkan Malaysia daripada terjerumus ke dalam pertembungan etnik, kaum dan agama, katanya dalam suatu kenyataan media.

Ismail juga amat bersetuju dengan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamed bahawa Dong Zong merupakan pertubuhan rasis.

Baginya, Dong Zong harus menghormati bangsa majoriti (Melayu) di Malaysia dan teras budayanya juga adalah Melayu.

“Seperti biasa sejak dari dulu jika ada isu yang berkaitan kaum Cina maka Dong Zong yang akan menjadi juaranya.”

“Jika ada isu berkaitan penentangan terhadap perkara-perkara berkaitan dengan Melayu dan Islam maka Dong Zong juga akan menjadi pemain utamanya,” katanya.

Soal Ismail, apakah kita sekarang ini dibawah Kerajaan DAP-PH akan berterusan berbicara dan dihidangkan dengan isu perkauman dan tuntutan-tuntutan melampau Dong Zong.

Bagi Ismail dalam isu tulisan khat dan tulisan jawi ini Tun Mahathir telah membuat keputusan yang amat jelas seharusnya tidak lagi timbul pertikaian dari Dong Zong serta pimpinan DAP kerana ia merupakan keputusan kerajaan yang diwakili juga oleh DAP.

“Kenapa perlu lagi petisyen dan sebagainya. Mereka sengaja mengaitkan isu jawi dengan agama sedangkan jawi hanya tulisan arab dan Khat pula merupakan seni tulisan,” katanya.

Ismail menekankan bahawa Dong Zong merupakan salah satu Hua Tuan (Persatuan-Persatuan Cina Utama Malaysia) dari lebih 2065 persatuan Cina yang memainkan peranan dalam mengemukakan tuntutan di dalam Dokumen Siqiu.

Antara tuntutan mereka termasuklah mempertikaikan hak keistimewaan Orang Melayu Bumiputera Islam.

Selain itu Dong Zong menuntut agar sistem kuota di universiti, penjawat awam, pinjaman dan bantuan pelajaran dihapuskan dan digantikan dengan sistem meritokrasi.

Menurut Ismail lagi, Dong Zong juga merupakan pemain utama dalam menggesa Kerajaan mengiktiraf Sijil UEC dan juga seawal pemerintahan kerajaan DAP-PH, Dong Zong menggesa agar bantuan kerajaan disalurkan kepada Sekolah-Sekolah Persendirian Cina (Menengah dan Rendah).

Dedahnya, kerajaan DAP-PH secara terus merealisasikan tuntutan Dong Zong ini apabila memasukkan 60 Sekolah Persendirian Cina dalam peruntukan RM12 juta. SJK (C) pula diberi RM50 juta padahal sekolah ini memang mendapat peruntukan kerajaan dan secara tidak langsung ia bertentangan dengan dasar kerajaan.

“Setiap perkara yang berkaitan Orang Melayu menjadi masalah kepada Dong Zong. Apakah Dong Zong ini “Pelampau Cina” yang menjadi “Tangan Jahat” bagi pihak Bangsa DAP?” soal Ismail.

Sikap rasis ini menurut Ismail bukan perkara baharu, ketika Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri ke-4 dahulu wujud cadangan Sekolah Wawasan tetapi ditentang oleh Dong Zong atas alasan tidak mahu budaya Melayu diterapkan kepada anak-anak mereka nanti.

“Saya ingin memberikan ingatan kepada Dong Zong bahawa mereka perlu ingat dan sedar di mana mereka berpijak dan langit mana yang mereka sedang junjung hari ini. Ini Tanah Melayu dan majoritinya masih Melayu Islam.”

“Jangan dek kerana sikap Dong Zong terlalu lantang ini bakal mengundang semula kepada pertembungan kaum yang pernah berlaku pada 13 Mei 1969 satu ketika dahulu,” tegas Ismail. – 14 Ogos 2019

1 COMMENT

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.