GAGASAN Tiga (G3) melancarkan satu kempen khas untuk memperingati Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim dan Syed Muhammad Danial Syed Syakir yang meninggal dunia angkara keganasan kaum.

Pengerusinya, Dato’ Azwanddin Hamzah berkata, kempen itu hanya mengambil masa seminit setiap minggu untuk umat Islam di seluruh negara menyedekahkan Al Fatihah kepada kedua-dua arwah.

Jelasnya, kempen itu akan bermula pada hari Khamis bersamaan 15 Ogos 2019 dengan tujuan mengajak seluruh umat Islam sedekahkan Al-Fatihah kepada arwah Adib dan Syed setiap hari Khamis.

“Saya ingin mengajak semua sahabat-sahabat, masjid-masjid dan surau-surau seluruh negara menjalankan program tahlil arwah dan memperjuangkan keadilan kepada kedua-dua arwah.

“Jangan sesekali kita lupakan betapa pahitnya cara pemergian mereka dan marilah kita semua bersama mengambil masa selama 1 minit untuk kempen sedekahkan Al-Fatihah kepada kedua Allahyarham Adib dan Allahyarham Syed pada setiap hari Khamis malam Jumaat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Allahyarham Adib meninggal dunia akibat kecederaan dipukul perusuh dalam tragedi rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya.

Sehingga hari ini, keluarga arwah Adib masih ternanti-nanti pembelaan terhadap insan yang mereka sayang itu dan pembalasan yang setimpal terhadap mereka yang bertanggungjawab menyebabkan kematiannya.

Belum pun selesai isu arwah Adib, muncul pula kes baharu apabila seorang pemandu Melayu, Syed Muhammad Danial Syed Syakir meninggal dunia di saat umat Islam sibuk membuat persiapan Hari Raya Aidil Adha Sabtu lalu.

Allahyarham Syed meninggal dunia akibat insiden perselisihan faham kemalangan jalan raya yang membabitkan sepasang suami isteri berbangsa Cina. Allahyarham Syed meninggalkan seorang balu dan seorang anak berusia 4 bulan.

Sehubungan itu, Azwanddin yang juga merupakan Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), berkata, kempen itu bertujuan sebagai langkah permulaan untuk memastikan seluruh rakyat Malaysia mengingati peristiwa kematian kedua Allahyarham Adib dan Allahyarham Syed.

Jelasnya, memandangkan kedua-dua insiden itu melibatkan orang Melayu, JMM dan G3 menggerakkan usaha untuk bersama menyatakan solidariti terhadap kedua-dua Allahyarham.

“Selain daripada itu, ianya juga merupakan satu gerakan perjuangan bagi pembelaan kepada kedua Allahyarham dan AL FATIHAH RAKYAT MALAYSIA ini sebagai tanda solidariti seluruh rakyat Malaysia.

“Usaha ini telah dijadikan sebagai satu gerakan serta simbol perjuangan demi menegakkan keadilan yang sewajarnya bagi Allahyarham Adib dan Syed Daniel.

“Semoga roh Alllahyarham Muhammad Adib dan Allahyarham Syed Daniel ditempatkan dalam kalangan pada syuhada, para solihin dan bersama-sama dengan orang yang beriman,” katanya. – NTHQiBord, 14 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.