KEPUTUSAN kerajaan meminda usia mengundi daripada 21 kepada usia 18 tahun merupakan suatu keputusan yang agak drastik.

Namun, keputusan tersebut dipersetujui oleh semua pihak di Dewan Rakyat termasuk blok pembangkang dengan syarat pengundi layak secara automatik.

Dalam hal ini tentunya pelbagai pendapat dan polemik sama ada dalam kalangan ahli politik mahupun anak muda itu sendiri.

Tiga orang anak muda Calon Ahli Parlimen Belia yang ditemui baru-baru ini meluahkan pandangan mereka tentang keputusan kerajaan itu.

Mohamad Shakir Ariff melihat keputusan kerajaan itu dibuat dalam keadaan tergesa-gesa.

Shakir berpendapat anak muda negara ini belum sedia melalui keadaan ini dan dibimbangi bermotifkan politik.

Namun, Shakir tidak menolak bahawa pada masa hadapan perkara ini perlu dibuat suatu hari nanti.

Hiffni Ariff pula secara prinsipnya bersetuju dengan keputusan kerajaan itu tetapi banyak persediaan yang perlu dilakukan terlebih dahulu.

Hiffni berpandangan pendidikan tentang pengundian dan sebagainya perlu didedahkan kepada mereka yang terlibat.

Sebelum ini, mereka yang mengundi pada usia 21 tahun mempunyai masa untuk didedahkan dengan aspek berkenaan selepas SPM.

Namun kini, bilakah masa yang sesuai untuk pendedahan dibuat? Tentunya lebih awal iaitu sebelum SPM.

Yang dibimbangi ialah anak muda yang mengundi pada usia ini belum benar-benar memahami peri pentingnya undi tersebut. Mengundi sekadar ikut kawan dan sebagainya. Makna mengundi sebenar tidak dihayati.

Sementara itu Jothy Letchummi menyokong sepenuhnya perubahan usia mengundi itu.

Baginya, pada usia tersebut anak muda telahpun layak memiliki lesen memandu, berkahwin dan lain-lain.

Jadi masyarakat perlu menerima keputusan yang membolehkan mengundi pada usia 18 dengan hati yang terbuka.

Dijangkakan, lebih tujuh juta pengundi baru akan menunaikan tangungjawab mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-15 selepas pindaan ini dilakukan. – 14 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.