JEMPUTAN Dr Zakir Naik adalah untuk rakyat Kelantan zahirkan solidariti dan tidak ada sebarang motif politik.

Timbalan Pesuruhjaya III PAS Kelantan, Dr Mohamed Fadzli Hassan dengan tegas berkata, kedatangan Zakir naik tidak ada kena mengena dengan sokongan beliau terhadap PAS.

“Program jelajah Dr Zakir Naik ke Kelantan bukan bermotifkan politik dan tidak membawa sebarang keuntungan kepada PAS.

“Beliau seorang pendakwah bebas, dia datang dan tak pernah pun buat kenyataan umum menyokong parti kita. Di mana untungnya PAS.

“Sedangkan beberapa kali dia puji PM, Dr Mahathir Mohamad, berapa kali dia puji kerajaan Malaysia dan kita tak ada rasa apa-apa pun,” katanya.

Jelas Mohamed Fadzli, program selama tiga hari yang diatur itu untuk Zakir sebagai pendakwah antarabangsa gunakan sepenuhnya menyampaikan ilmu agama.

“Apabila kita jemput Dr Zakir Naik untuk ceramah agama itu memang serasi dengan kerajaan Kelantan sebab jiwa kita adalah jiwa agama.

“Yang hadir ke program bukan saja orang PAS, orang Umno pun ramai, orang PH pun ada terdiri daripada peminat-peminat beliau. Nak kata menguntungkan politik PAS, untung di mana?

“Apa yang penting matlamat kita untuk bawa dia (Zakir) datang ke Kelantan tercapai, matlamat kita untuk bersolidariti tercapai dan matlamat kita untuk melihat kehebatan kaedah dakwahnya juga tercapai,” ujarnya. – 14 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.