GAGASAN TIGA (G3) hari ini membuat laporan polis terhadap pertubuhan pro-DAP, Dong Zong dan penasihat parti itu, Lim Kit Siang kerana mecetuskan ancaman terhadap umat Islam di negara ini berhubung isu seni khat dan jawi.

Laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi tengah hari tadi.

Pengerusi G3, Dato’ Azwanddin Hamzah berkata, laporan itu dibuat ekoran tuduhan Dong Zong dan Kit Siang kononnya langkah kerajaan memperkenalkan silibus tulisan jawi dan seni khat satu bentuk Islamisasi.

Kata beliau, Dong Zong merupakan satu pertubuhan yang bersifat perkauman (rasis) kerana mewujudkan ancaman kepada orang Islam, Melayu dan Bumiputera serta kaum lain dengan hasutan bersifat kebencian.

Kata beliau, pertubuhan pro-DAP itu dilihat hanya membela kepentingan sekolah dan kaum Cina sahaja sedangkan tindakan itu bertentangan Perlembagaan negara.

“Dong Zong dan Kit Siang berkali-kali mencuba untuk menghasut dan menimbulkan ketegangan kaum serta menentang kuat dasar dan perancangan kerajaan untuk masyarakat majmuk di negara ini khususnya dalam isu pendidikan.

“Tuduhan mereka amat berat kerana mendakwa langkah kerajaan memperkenalkan pelajaran khat (tulisan jawi) dalam buku teks Bahasa Melayu di sekolah vernakular sebagai satu bentuk tindakan Islamisasi,” katanya.

Beberapa hari lepas, Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad melabelkan Dong Zong sebagai rasis kerana tidak pernah bersetuju dengan dasar pendidikan negara termasuk isu pembinaan Sekolah Wawasan sebelum ini.

Tun Mahathir berkata, sikap Dong Zong dapat dilihat apabila pertubuhan itu masih membantah pembelajaran Jawi dan khat di sekolah vernakukar, sedangkan keputusan itu dibuat pada 2012 oleh kerajaan terdahulu.
– NTHQiBord, 15 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.