HANYA umat Islam yang munafik sahaja yang bersetuju menghalau pendakwah Islam tersohor Dr Zakir Naik dari Malaysia, kata pemimpin PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

“Tiada Muslim yang gembira dan menyetujui Dr Zakir Naik dihalau keluar dari negara ini kecuali dia adalah munafik dan berdosa besar.

“Tiada bukan Muslim yang berusaha menghalau Dr Zakir Naik keluar dari negara ini kecuali dia adalah musuh umat Islam.

“Siapa pun yang menyokong tindakan musuh Islam terhadap umatnya, dia adalah tali barut,” kata Ahli Jawatankuasa (AJK) Pusat PAS itu dalam satu kenyataan di Facebook.

Nik Abduh mengulas mengenai gesaan beberapa pemimpin Pakatan Harapan terutamanya DAP yang mahu mengusir Zakir Naik dari Malaysia.

Antara pemimpin yang menyelar Zakir Naik termasuk Rafidah Aziz, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Lim Kit Siang, Dr Xavier Jayakumar, Gobind Singh Deo dan M Kulasegaran.

Tambah Nik Abduh lagi, haram hukumnya jika seorang Muslim menzalimi saudara seagamanya dan haram juga jika membiarkan saudara seagamanya dizalimi.

“Setiap Muslim adalah bersaudara. Haram ke atasnya menzalimi saudaranya sendiri dan haram ke atasnya membiarkan saudaranya itu dizalimi oleh sesiapa pun.

“Tiada kejuaraan sebenar kecuali kejuaraan perjuangan menegakkan kalimah Allah di dalam diri dan tanah air,” katanya lagi. – 15 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.