KELMARIN seorang taikun ahli perniagaan kroni DAP mengatakan bahawa untuk mengurangkan bajet negara dia mencadangkan supaya saiz penjawat awam dikurangkan, spesifiknya saiz angkatan tentera yang pada hematnya tidak buat apa selain makan tidur sahaja.

Dalam dunia ini semua angkatan tentera berada dalam keadaan siap siaga, sebab kita tidak tahu bila musuh akan menyerang atau bila perang akan berlaku.

Sekiranya kita nak tunggu musuh menyerang atau perang bermula baru nak tubuh atau kerah angkatan tentera yang baru, maka belum apa-apa kita tentunya akan kalah perang.

Lebih teruk lagi, jika kita tidak ada angkatan tentera yang cukup dan bersiap siaga, ini menyebabkan musuh lebih berani untuk menyerang atau masuk sempadan kita.

Jika negara kita betul-betul berperang, saya tidak harap yang ahli perniagaan ini yang akan angkat senjata dan sanggup berkorban nyawa untuk negara.

Mungkin dia yang cabut lari dulu sebelum perang bermula dan lari bawa duit berguni-guni ke luar negara.

Ahli perniagaan itu juga berkata bahawa saiz perkhidmatan awam kita terlampau besar dan dia ada bandingkan dengan negara-negara lain.

Hujahnya ini samalah dengan hujah Tony Pua dan pemimpin-pemimpin DAP dahulu.

Walaupun taikun ahli perniagaan ini telah meminta maaf, saya rasa dia dan banyak rakan-rakannya dalam DAP masih tidak faham atau sengaja tidak mahu faham berkenaan saiz penjawat awam di Malaysia.

Saya dahulu seorang penjawat awam dan saya tahu sedikit sebanyak tentang soal ini.

Dalam artikel yang saya tulis enam bulan lepas yang dikepilkan, saya ada terangkan bagaimana saiz ini sebenarnya dikira dan ianya berbeza dengan negara-negara lain.

Di Thailand terdapat lebih 500,000 anggota tentera yang tidak dikira dalam perkhidmatan awam.

Dan di banyak negara maju lain seperti Amerika Syarikat, Britain dan Singapura, anggota tentera, guru, polis dan bomba dan semua perkhidmatan wajib yang lain juga tidak dikira dalam pengiraan saiz penjawat awam.

Sebab itulah nisbah penjawat awam kepada rakyat mereka lebih kecil berbanding Malaysia.

Jika kita buat cara pengiraan yang sama dengan mereka, saiz dan nisbah penjawat awam kita adalah lebih kecil berbanding negara-negara lain.

Cara unik kita mengira saiz penjawat awam ini tidak boleh diubah sesuka hati kerana ianya telah termaktub dalam Perlembagaan.

Oleh itu kepada ahli-ahli perniagaan dan ahli-ahli politik DAP ini, rajin-rajinlah membaca, jangan asyik membuat kenyataan semberono sahaja kerana secara langsung atau tidak anda amat memalukan Malaysia di mata dunia. – 15 Ogos 2019.

ISHAM JALIL,
Penganalisis politik.

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan NTHQiBord*

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.