AHLI Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim kesal dengan pihak tertentu yang memperkecilkan peranan pasukan keselamatan yang menjadi tonggak kemerdekaan, keselamatan dan kemakmuran negara.

“Komunis mungkin berdendam dengan pasukan keselamatan. Tetapi warganegara sejati tidak akan sesekali hilang pedoman.”

“Tanpa adanya anggota keselamatan negara, anda mungkin sedang berlindung di dalam longkang dan khuatirkan keselamatan nyawa dan keluarga jauh sekali mempunyai ruang untuk mempunyai empayar peniagaan dan menjadi jutawan,” katanya dalam suatu kenyataan.

Menurutnya pelabur sejati tahu kriteria utama risiko pelaburan berkait rapat dengan soal keselamatan, keamanan, kestabilan politik.

Beliau menggesa supaya pihak yang menghina anggota tentera supaya jangan jadi lupa diri seperti kacang lupakan kulit.

Baginya, keringat pasukan keselamatan yang berkorban sama ada di darat, laut dan udara menyumbang kepada keamanan negara.

Terdahulu, seorang taikun Koon Yew Yin menghina anggota tentera apabila mengatakan mereka tiada kerja lain hanya makan dan tidur. Yew Yin turut mahu anggota tentera menggantikan pekerja asing untuk bekerja di ladang Felda.

Walaupun kemudiannya Yew Yin menarik balik tulisannya dan meminta maaf, kerosakan daripada kata-katanya tidak mudah dilupakan.

Apatah lagi dia pernah mengaku menziarahi Chin Peng, ketua Parti Komunis Malaya yang juga musuh utama negara.

Tindakan itu menunjukkan sifat sebenar dirinya dan tentu mempengaruhi parti politik yang menerima dana daripadanya iaitu DAP.

Dalam pada itu ahli Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia (PVATTBM) mendesak Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu tampil memberi kenyataan.

PVATTBM juga menggesa Kerajaan PH melucutkan kerakyatan Yew yin.

Presiden PVATTBM, Ismail Abidin menyifatkan Yew Yin seolah-olah tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia. – 15 Ogos 2019

2 COMMENTS

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.