BEKAS Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hasan tidak rela Melayu diperkotak-katikkan.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, sekiranya orang Melayu Islam ini rasis, maka tidak akan ada satu bangsa lain pun yang akan wujud di negara ini melainkan Melayu Islam.

Menurut beliau, orang Melayu sanggup berkongsi dan memberikan hak mereka kepada bangsa lain adalah disebabkan oleh kemurnian dan keikhlasan yang diajar oleh agama Islam.

“Kalau ikut sejarah negara ini memang Tanah Melayu, bila dijajah, orang asing ramai datang untuk bekerja dan kemudian diserap sebagai rakyat,”

“Kemudian, selepas merdeka, negara ini dibangunkan atas dasar kompromi dan semua kaum perlu hormat antara satu lain,” katanya.

Tambah Musa, bangsa lain seharusnya menghormati orang Melayu Islam kerana sanggup berkongsi hak dengan mereka tanpa prejudis.

“Tapi mereka ini seakan terlupa sejarah sehinggakan ada yang cuba untuk mengembalikan ideologi lama mereka… contoh komunis,”

“Kalau boleh komunis mahu diiktiraf sebagai pejuang dalam negara ini,”

“Saya nak bagitau, komunis bukan pejuang. Rakan-rakan saya ramai dibunuh. Ketika 13 Mei, komunis cacak bendera letak bom,”

“Bila polis cabut bendera, bom meletop.. Ketua Polis Negara pun ketika itu ditembak. Jadi adakah kita mahu perkara ini berulang?” soalnya.

Musa mengulas mengenai situasi politik semasa, yang menyaksikan ketegangan antara orang Melayu, Cina dan India.

Terdahulu, pelaksanaan khat dalam tulisan jawi dibantah habis-habisan oleh pendesak Cina, Dong Zong dan Jiao Zong.

Pendesak Cina ini dibelakangi oleh parti DAP, yang menentang pelaksanaan pembelajaran jawi di sekolah rendah untuk murid darjah empat.

Baru-baru ini juga menyaksikan kekalutan dalam isu pendakwah antarabangsa Dr Zakir Naik, di mana beberapa menteri berbangsa India seperti Kulasegaran, dan Gobind Deo Singh mendesak Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menghalau Dr Zakir.

Walau bagaimana pun, ramai pemimpin Melayu masih dilihat ‘cuba bertahan’ dari pelbagai desakan yang menjerumus ketegangan kaum, dan mengambil keputusan itu berdiam diri. – NTHQiBORD, 15 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.