PENJUALAN Lapangan Terbang TUDM di Sungai Besi merupakan antara isu besar yang dimainkan pembangkang PH sebelum PRU14 sehingga menjadi salah satu faktor kejatuhan Barisan Nasional.

Namun, ketika isu penghinaan pembiaya PH, Koon Yew Yin terhadap anggota tentera ada pihak cuba membangkit isu tanah TUDM itu dengan Datuk Seri Najib.

Oleh itu, bekas Perdana Menteri ke-6 itu menjelaskan kedudukan situasi yang berkaitan. Yang berikut catatan Najib dalam Facebook beliau:

Oleh sebab isu ahli perniagaan yang rapat dengan PH menghina askar, saya tengok penyokong PH cuba membangkitkan lagi tanah pangkalan udara TUDM Sungai Besi yang kini dinamakan projek Bandar Malaysia.

Baik. Saya kongsikan semula penjelasan tentang isu ini supaya rakyat faham.

Sebenarnya, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpendirian bahawa Pangkalan Udara (PU) Sungai Besi yang keluasan tanahnya 486 ekar tidak lagi sesuai dari aspek operasi dan keselamatan.

Perkara ini telahpun diberi penjelasan oleh Panglima TUDM.

Berbanding 60 tahun dahulu, lokasi di tengah bandar raya dan dikelilingi kepesatan pembangunan dengan adanya bangunan tinggi dan kepadatan penduduk bermakna Pangkalan Udara di Sungai Besi ini amat terdedah dengan ancaman luar dan usaha risikan.

Atas sebab itu juga, mengapa kebanyakan lapangan terbang antarabangsa di dunia dipindahkan dari tengah bandaraya kepada kawasan pinggir bandar.

Selain itu, kebanyakan bangunan dan fasiliti di PU Sungai Besi ini sudah berusia 60 tahun ke atas serta dalam keadaan usang.

Oleh itu, satu perjanjian telah dibuat dengan 1MDB.

Apa yang ATM peroleh dengan penyerahan tanah 486 ekar Sungai Besi?

1.ATM dapat Pangkalan Udara di Sendayan di atas tanah 750 ekar yang jauh lebih besar.

Dengan keluasan tiga kali ganda daripada saiz fasiliti dibina sedia ada di PU Kuala Lumpur, PU Sendayan telah dilengkapi dengan fasiliti moden, sejajar dengan pelan modenisasi nasional TUDM.

Ada yang bertanya mengapa Pangkalan Udara (PU) Sendayan yang satu kali lebih besar dari PU Sungai Besi tidak ada landasan penerbangan.

Ini di atas keperluan perancangan pihak TUDM sendiri kerana mereka percaya pangkalan-pangkalan lain di negara termasuk pembinaan dan kenaikkan taraf di PU yang lain oleh 1MDB seperti di Subang sudah memenuhi keperluan TUDM pada masa ini.

Kalau TUDM memerlukan landasan di PU Sendayan, kerajaan pada masa itu tentu akan membina juga.

PU Sendayan sudah bermula operasi pada 16 Mac tahun ini.

Kos pembelian tanah, kos pemindahan dan kos pembinaan dibiayai oleh 1MDB.

Apa lagi yang ATM dan pihak polis dapat?

2.PDRM dapat Pangkalan Udara (PGU) PDRM Subang yang luasnya 40 ekar dengan 17 buah bangunan dan fasiliti baru yang lebih besar berbanding fasiliti lama. PGU ini juga membolehkan operasi PGU berjalan 24 jam tanpa henti yang tidak dapat dijalankan sebelum ini.

PGU Subang ini telah bermula operasi pada 28 Februari 2018.

Kos pembelian tanah, kos pemindahan dan kos pembinaan juga dibiayai oleh 1MDB.

Apa lagi yang ATM peroleh?

3.ATM juga dapat menaiktaraf dan membina enam lagi aset dan pangkalan mereka.

Ini termasuk PU Gong Kedak (Terengganu), PU Butterworth dan PU PDRM di Ipoh yang telah siap tahun lepas.

Manakala pembinaan dan kerja naik taraf masih dijalankan di PU Kuantan, PU Subang dan Rejimen Artileri Diraja (31 RAD) di Kajang.

Kos ini juga ditanggung oleh 1MDB.

Ada apa lagi yang ATM dapat?

4.Kesemua projek yang bernilai RM2.7 bilion ini dianugerahkan kepada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) – bukan kepada kroni.

Dengan ini, keselamatan aset-aset ini boleh dipastikan dan LTAT boleh menjana untung untuk wang pesara ATM.

Saya amat hairan mengapa saya sering dituduh menjual PU Sungai Besi. Mengapa tidak pula mereka katakan saya kejam atau zalim kerana membina PU Sendayan yang jauh lebih besar dan canggih, PGU Subang untuk RMP yang lebih besar dan moden serta menaikkan taraf enam lagi pangkalan ATM?

Walaupun 1MDB mengambil alih tanah ini dari pihak TUDM sama seperti tanah TRX, harga jualan RM400 juta juga tidak memberi gambaran yang penuh.

Antara syaratnya ialah 1MDB tidak boleh memulakan sebarang pembinaan di atas tanah tersebut dan terpaksa menanggung kos pinjaman untuk beberapa tahun sehingga kesemua lapan pangkalan ATM telah siap dibina dan memulakan operasi.

Setelah kesemua pembinaan dan pemindahan selesai, 1MDB boleh mula memaju dan membangunkan projek Bandar Malaysia yang mempunyak nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM140 bilion – jauh lebih tinggi dari hutang 1MDB kini.

Masa itu, saya dikritik teruk serta dituduh jual negara kepada China kerana menjualkan kepentingan 60 peratus dalam projek Bandar Malaysia ini kepada sebuah syarikat gabungan Malaysia dengan China.

Namun, perjanjian penjualan itu dibatalkan setelah kita rasa ia lebih menguntungkan negara untuk hanya menjual hak pembangunan dan bukan jual kepentingan projek dan tanah secara terus.

Tapi selepas PRU14 pula, kerajaan PH memulihkan semula perjanjian asal yang saya telah batalkan untuk menjual kepentingan 60 peratus kepada pembeli asal pula.

Paling pelik ialah PH tidak lagi gelar ini sebagai gadai tanah tentera atau jual negara kepada China.

Sebaliknya, sekarang PH kata projek RM140 bilion Bandar Malaysia ini amat menguntungkan dan strategik untuk negara.

Pelik, kan? – 15 Ogos 2019

1 COMMENT

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.