MALAYSIA sekali lagi menjadi tumpuan dunia.

Kali ini dalam kes ‘penculikan dan pembunuhan’ melibatkan kematian remaja Ireland Perancis yang ditemui mati, lapor Reuters.

Pejabat pendakwa raya Paris membuka siasatan jenayah ke atas Nora Anne Quoirin, 15, yang ditemui mati Selasa lalu.

Nora Anne merupakan kanak-kanak istimewa yang mengalami masalah pembelajaran, ditemui dalam keadaan tidak berpakaian di kawasan air terjun.

Mayat Nora Anne ditemui 10 hari selepas dia hilang dari resort di Seremban, Negeri Sembilan.

Polis memaklumkan bahawa bedah siasat bermula yang bermula sejak pagi semalam belum selesai dan ahli patologi forensik masih berusaha untuk menentukan punca kematian Nora.

Pendakwa raya Paris pada 9 Ogos lalu membuka siasatan kes berkenaan sebagai penculikan, kata jurucakap yang memaklumkan Reuters.

Peguam keluarga Nora Anne, Sankara N Nair sebelum ini meminta polis untuk menerima tawaran oleh Menteri Luar Perancis Jean-Yves Le Drian untuk membantu menyiasat keadaan kematian gadis tersebut.

“Ini satu cadangan yang sangat baik, saya harap polis akan menerima bantuan itu,” kata Nair kepada Reuters.

Keluarga Nora Anne sebelum ini menyatakan kebimbangan berlaku jenayah dalam kehilangan anak mereka.

Namun, Timbalan Ketua Polis Negara, Mazlan Mansor, berkata siasatan awal mendapati tiada bukti jenayah dalam kematian Nora Anne.

Walau bagaimanapun, pihak polis akan menyiasat segala bentuk kemungkinan dan perkaitan jenayah untuk memastikan Nora Anne mendapat keadilan sewajarnya. – NTHQiBord, 15 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.