AHLI perniagaan lupa diri, Koon Yew Yin perlu dikenakan tindakan tegas ekoran kenyataannya yang menuduh kononnya anggota pasukan keselamatan itu hanya makan dan tidur sahaja, gesa persatuan veteran tentera.

Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) cawangan Kuantan, Paya Besar dan Beserah berkata, walaupun ahli perniagaan itu telah membuat permohonan maaf, anggota PVATM cukup terkesan dengan kenyataan yang dibuat Yew Yin.

“Siapa sahaja boleh membuat permohonan maaf namun kesan ekoran kenyataan itu begitu besar kepada kami dan kami mahu Yew Yin dikenakan tindakan tegas.

“Tindakan tegas ini penting bagi memberikan pengajaran kepada semua orang supaya tidak mudah memperlekeh sumbangan anggota tentera kepada kedaulatan negara ini,” kata wakil persatuan itu yang juga Ketua PVATM Paya Besar, Abdullah Seman.

Yew Yin dalam tulisan di laman blog kendaliannya menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil langkah sewajarnya untuk mengurangkan perbelanjaan perkhidmatan awam yang disifatkan beliau terlalu besar.

Menerusi tulisan tersebut, Yew Yin dipetik sebagai meminta kerajaan menyemak semula senarai pekerja di jabatan kerajaan serta memecat pekerja yang tidak diperlukan dan antara yang dibangkitkan ialah dengan menjadikan ATM sebagai contoh dan menyifatkan anggota pasukan keselamatan negara itu hanya makan dan tidur sahaja.

Semalam, ahli perniagaan itu menarik balik kenyataan yang dibuatnya pada 12 Ogos lalu dan turut membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia.

Abdullah berkata, ramai anggota tentera yang terkorban di kawasan sempadan negara demi mempertahankan kedaulatan tanah air tercinta.

“Tahukah berapa ramai yang hilang kaki dan tangan menjaga kawasan sempadan negara, hari ini apabila negara dalam keadaan aman, kami dicaci, dihina seolah-olah kami ini tidak wujud,” katanya. – 15 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.