POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil pertubuhan pro-DAP, Dong Zong dan taikun perniagaan, Koon Yew Yin untuk disoal siasat susulan laporan polis yang dibuat oleh Gagasan Tiga (G3) dan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) hari ini.

Awal hari ini, Pengerusi G3, Dato’ Azwanddin Hamzah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi terhadap Dong Zong kerana mencetuskan ancaman terhadap umat Islam berhubung isu seni khat dan jawi di sekolah vernakular.

Wakil JMM Parlimen Jerai, Sabri Saad dan wakil JMM Sungai Petani, Azhar Mohamad pula membuat laporan polis berhubung penghinaan Yew Yin terhadap anggota tentera Malaysia.

Sehubungan itu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata siasatan sedang dijalankan susulan rentetan beberapa laporan polis yang telah dibuat terhadap kedua-dua pihak pihak terbabit .

Satu lagi siasatan melibatkan penceramah terkemuka, Dr Zakir Naik.

Muhyiddin turut menjelaskan, beberapa individu lain telah pun dipanggil untuk disoal siasat dan ada yang sedang dalam pemerhatian PDRM.

“Tindakan selanjutnya akan diambil termasuk mendakwa mereka yang terlibat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan jika terdapat bukti yang mencukupi,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Muhyiddin menegaskan bahawa PDRM dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sentiasa memantau kenyataan yang dibuat dan didapati mampu mengeruhkan keadaan terutama dalam media sosial.

“Justeru, pengguna laman sosial diingatkan agar sentiasa menggunakan media sosial secara berhemah,” ujar beliau.

Bukan sekadar itu, Muhyiddin turut mengingatkan semua pihak termasuk bukan warganegara Malaysia bahawa agensi penguatkuasaan di bawah kementerian beliau tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa sahaja yang cuba mengganggu gugat keharmonian serta ketenteraman awam.

Beliau meminta semua pihak berhenti mengeluarkan kenyataan berbentuk andaian, sebaliknya menunggu laporan penuh daripada pihak berkuasa sebelum membuat ulasan tentang sesuatu kejadian bagi mengelakkan sebarang kenyataan berbentuk fitnah atau tuduhan melulu.

Sementara itu, Muhyiddin menyeru mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kenyataan atau komen berunsur fitnah, perkauman atau hasutan supaya melaporkannya kepada pihak berkuasa dengan menghantar rakaman skrin kepada akaun media sosial rasmi PDRM.

“Malaysia adalah negara majmuk pelbagai kaum dan agama. Setiap rakyat seharusnya menghormati kepelbagaian dan meraikan perbezaan yang ada di negara ini,” jelas Muhyiddin. – 15 Ogos 2019.

1 COMMENT

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.