KEPUTUSAN Kabinet bahawa pelaksanaan pengajaran Jawi di sekolah vernakular adalah tertakluk kepada persetujuan PIBG menunjukkan siapa sebenarnya yang menguasai Pakatan Harapan.

Ternyata DAP adalah penguasa sebenar Kerajaan PH. Kabinet Tun Mahathir hanya ‘rubber stamp’ kepada sutradara Dong Jiao Zong yang dilakon layarkan oleh DAP.

Negarawan besar seperti Tun Mahathir pun tertewas dengan desakan tidak munasabah DAP.

Keputusan Kabinet itu bukan satu konsensus. Konsensus tidak akan menyebabkan terhapusnya Jawi dalam sistem persekolahan vernakular.

Konsensus tidak akan mematikan semangat di Jawi dan pengajarannya, iaitu meraikan kemajmukan Malaysia.

Semua orang tahu bahawa tiada PIBG sekolah vernakular akan membenarkan pengajaran Jawi dilaksanakan.

Demikianlah tragedinya, disebalik kedudukan, martabat dan status istimewa Bahasa Melayu yang dijamin dalam Perlembagaan.

Orang Melayu tidak akan melupakan pengkhianatan luar biasa ini. Mana perginya sang Anwar Ibrahim yang selama ini selalu dianggap sebagai pejuang Bahasa Melayu.

Mana suaranya Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub dan rakan-rakan dalam Kabinet yang dulu pernah berarak di jalanan menentang pelaksanaan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.

Mana perginya perjuangan Syed Saddiq dan rakan PPBM nya dalam mempertahan, memperjuang dan memperkasakan Bahasa Melayu demi kepentingan nasional.

Ingatlah, apa yang kamu persetujui kelmarin akan menghantui kamu seumur masa.

Namun bangsa dan tanah air ini, tidak akan diliputi mega mendung selamanya. Masakan sang bulan pura berduka sedangkan langit penuh berbintang.

Tragedi semalam akan menjadi lonjakan kepada kami untuk mengembalikan pengaruh, kuasa dan kepentingan Melayu dalam nadi dan nafas tanah air ini insyaAllah.

Dan akan kami lakukan tanpa meluka dan menafikan hak serta kepentingan bangsa lain pastinya. – 15 Ogos 2019

DATUK SERI MOHAMED KHALED NORDIN
Naib Presiden UMNO

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan NTHQiBord*

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.