PENGUMUMAN Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching tentang pengenalan seni khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah telah menimbulkan bantahan sesetengah pihak.

Bantahan yang dibuat melampaui had hingga menjejaskan perpaduan kaum di Malaysia.

Calon Ahli Parlimen Belia Mohamad Shakir Ariff sangat bersetuju dengan pengenalan seni khat dan tulisan jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.

Apatah lagi katanya tulisan jawi telah digunakan lama sebelum merdeka di nusantara dalam urusan seharian mahupun dalam penulisan manuskrip.

Shakir menolak dakwaan Dong Zong yang mengatakan pengenalan seni khat dan tulisan jawi sebagai suatu proses islamisasi.

“Saya tidak faham kenapa tulisan jawi ini ditakuti, jadi saya sokong 100 peratus dimasukkan dalam silibus,” kata Shakir.

Bantahan yang dibuat oleh Dong Zong dan pemimpin DAP dilihat tidak menghormati perlembagaan dan orang Melayu Islam yang merupakan majoriti penduduk Malaysia.

Bantahan yang keterlaluan merenggangkan lagi perpaduan antara kaum.

Seorang lagi calon Ahli Parlimen Belia, Hiffni Ariff berpendapat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya belia masih dalam bentuk retorik, bukan realiti.

“Perpaduan hanya nampak pada permukaan sahaja tetapi tidak dihayati sedalam-dalamnya.”

“Perpaduan sebenarnya masih jauh daripada realiti,” kata Hiffni.

Hiffni menjelaskan setiap masyarakat di Malaysia masih hanya bergaul dalam kelompok kaum masing-masing. Hanya segelintir sahaja yang merentasi pergaulan antara kaum.

Sementara itu, Jothy Letchummi yang juga calon Ahli Parlimen Belia mahu kerajaan mewujudkan lebih banyak program yang membolehkan kaum-kaum di Malaysia berinteraksi antara satu dengan lain.

Jothy yang masih seorang mahasiswa mencadangkan pelbagai program di universiti seperti kelab perpaduan, larian perpaduan, sukan perpaduan dan sebagainya.

Melaluinya Jothy mengharapkan tiada lagi anak muda yang hanya bergaul dengan kaum masing-masing ketika di kampus.

Hakikatnya, masalah perpaduan kaum masih menjadi isu besar walaupun negara telah merdeka lebih 60 tahun.

Hal ini berlaku kerana, sebahagian warganegara tidak menghormati kontrak sosial yang dipersetujui ketika negara mencapai kemerdekaan dahulu. – 15 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.