NEGARA boleh huru-hara percanggahan pendapat terus berlaku dalam kalangan menteri Pakatan Harapan (PH) dengan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad, kata Datuk Takiyuddin Hassan.

Setiausaha Agung PAS itu berkata, mana-mana menteri yang tidak sehaluan dengan Tun Mahathir dalam dalam perkara dasar negara perlu meletakkan jawatan bagi mengelakkan rakyat menerima kesan.

Menurutnya, mengikut Perkara 43(2)(b), Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan seseorang ahli Kabinet dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

“Oleh itu, menteri kabinet tidak boleh mengambil pendirian yang berbeza dengan Perdana Menteri dalam hal berkaitan dasar negara terutama selepas diputuskan kerajaan melalui Kabinet.

“Tindakan tersebut adalah suatu pelanggaran konsep tanggungjawab bersama (ministerial responsibility), malahan dianggap suatu keingkaran (insubordination),” katanya.

Takiyuddin berkata, Dr Mahathir wajar menasihatkan Yang di-Pertuan Agong supaya membatalkan pelantikan menteri terbabit yang sering sering kali bertindak bercanggah dengan dasar yang hendak dibawa olehnya demi kepentingan negara dan rakyat.

Menurutnya, pembatalan pelantikan menteri itu boleh dibuat berdasarkan peruntukan Perkara 43(5), Perlembagaan Persekutuan.

Sejak beberapa hari lalu, beberapa menteri Kabinet dilihat mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan Perdana Menteri berhubung isu pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik.

Dua daripada menteri terbabit menyatakan pendirian mereka supaya Zakir tidak dibenarkan tinggal di negara ini, manakala Dr Mahathir sebelum ini menegaskan Malaysia tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak supaya pendakwah tersebut dihantar pulang ke India sehinggalah dia dijamin mendapat perbicaraan yang adil di sana.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.