NAIB Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad menjadi panel kedua yang diberi pengiktirafan oleh Nothing To Hide (NTH) Media sebagai panel terbaik untuk menerima anugerah Pilihan Dimensi bagi tempoh Februari hingga April 2019.

Anugerah ini merupakan penghormatan tertinggi kepada para panel yang tampil bersama NTH Media sejak program temu bual Dimensi (dijenamakan semula) diterbitkan pada Ogos 2018.

Pemilihan pemenang ini dibuat bagi tempoh tiga bulan sekali dan Idris merupakan panel kedua yang diberi penghormatan daripada 75 panel yang pernah hadir ke NTH Media bagi tempoh bulan Februari hingga April 2019.

Cenderahati penghargaan disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif NTH Media, Khalijah Mohamed.

Sebelum ini, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menerima pengiktirafan Pilihan Dimensi bagi sesi Ogos hingga Oktober 2018.

Kriteria Pilihan Dimensi

Hadir sebagai panel ke-140 pada 6 Mac 2019, Idris menepati kriteria yang ditetapkan NTH Media apabila mengupas mengenai isu penyatuan PAS dan UMNO yang hangat diperkatakan pada waktu itu.

Sebagai salah seorang pemimpin tertinggi PAS, Idris sendiri terlibat dalam Himpunan Penyatuan Ummah dan beberapa lagi himpunan bagi membantah isu semasa seperti ratifikasi ICERD dan Statut Rom.

Dengan pengalaman itu, beliau mengupas topik bual bicara “Hubungan UMNO-PAS” dengan baik dan berfakta.

Antaranya termasuk cetusan kerjasama UMNO-PAS selepas pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang menyaksikan kedua-dua parti itu berganding bahu dalam enam Pilihan Raya Kecil di Semenanjung Malaysia.

Rakyat Malaysia khususnya orang Melayu tertunggu-tunggu hasil penyatuan dua parti Melayu dan Islam ini, dan Idris menyatakan dengan lebih jelas tentang misi serta visi kerjasama mereka menerusi segmen Dimensi ini.

Paling penting katanya, UMNO dan PAS sedar bahawa persaingan tiga penjuru seperti yang berlaku dalam PRU14 tidak akan menguntungkan kedua-dua parti.

DAP Ancaman Utama

Ulasan Idris mengenai wajah sebenar DAP juga memberi nilai tambah kepadanya untuk diberi pengiktirafan oleh NTH Media.

Berdasarkan pengalamannya bekerjasama dengan DAP semasa dalam Pakatan Rakyat, Idris menceritakan betapa cauvinisnya parti itu dalam menentang hal-hal Islam termasuk pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) 355 iaitu usaha PAS memperkasakan Mahkamah Syariah.

Selain itu, keputusan DAP meletakkan ahlinya dalam Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) juga mengundang kritikan Idris yang mempersoalkan niat sebenar parti itu yang mungkin mahu mengusik insitusi Islam.

Malah Idris mengingatkan penonton bahawa DAP sentiasa menyerang kerjasama UMNO-PAS yang boleh menggugat cita-cita mereka menguasai negara ini dalam dunia politik. – NTHQiBord, 16 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.