PERTUBUHAN pro-DAP, Dong Zong diingatkan agar menghormati konsep kebebasan yang diamalkan di Malaysia serta tidak menunjukkan sikap rasis, kata Dr Idris Ahmad.

Naib Presiden PAS itu berkata, beliau bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad bahawa Dong Zong merupakan pertubuhan yang rasis dan tidak suka kepada Melayu.

Jelasnya, walaupun kerajaan sejak dulu dilihat berlembut dengan kehendak pertubuhan itu, ia sebenarnya bagi memastikan Malaysia mempunyai acuan sendiri dalam soal kebebasan.

“Kita tidak mahu Malaysia menjadi Singapura yang tidak membenarkan sekolah jenis kebangsaan.

“Kita juga tidak mahu jadi seperti Indonesia sampaikan nama Cina pun tidak boleh digunakan.

“Kita boleh bagi sekolah untuk mereka, tapi mereka kena hormatlah dari segi konsep kebebasan yang diberikan mengikut model di Malaysia,” katanya kepada NTHQiBord.

Terdahulu, Tun Mahathir menyifatkan Dong Zong sebagai rasis kerana tidak pernah bersetuju dengan apa jua keputusan kerajaan.

Katanya, NGO pro-DAP itu sejak dahulu lagi sering membantah termasuk ketika kerajaan mewujudkan Sekolah Wawasan yang menggabungkan Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Beliau dalam nada tegas berkata, persatuan itu tidak pernah menyukai orang Melayu kerana bimbang anak-anak mereka bercampur dengan kaum itu.

Tun Mahathir berkata demikian ketika mengulas tindakan Dong Zong membantah pelaksanaan seni khat dan jawi di sekolah vernakular bermula tahun depan. – NTHQiBord, 16 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.