KALAU sudah tahu ianya syarikat kerajaan, kenapa anugerahkan projek tersebut kepada DreamEDGE, soal Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darell Leiking yang mendakwa kelulusan sebuah agensi kerajaan untuk membeli saham dalam DreamEDGE Sdn. Bhd berlaku pada tahun 2017.

“Itulah sikap pemimpin kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Mereka akhirnya akan menunding jari kepada Barisan Nasional (BN) dalam setiap keputusan yang dibuat.

“Semuanya salah BN,” katanya.

Ka Siong mempersoalkan kenyataan Darell itu yang didakwa tidak ada kena mengena dengan BN kerana menteri PH memaklumkan bahawa projek kereta nasional ketiga tidak akan menggunakan dana awam.

“Perkara pokok di sini ialah, dulu kata projek ini tidak menggunakan dana awam.

“Tapi syarikat yang dianugerahkan untuk projek ini secara jelas ada kaitan dengan kerajaan.

“Ada yang tak kena dengan projek kereta nasional ketiga?

“Darell mungkin sudah pening kepala atau malu sebab kantoi menipu, maka beliau cuba salahkan BN pula,” katanya.

Selain itu, Ka Siong turut menempelak di mana jaminan kerajaan PH untuk tidak menaikkan duti import kereta yang akhirnya membebankan rakyat.

“Soal pokoknya kenapa PH hendak sangat melaksanakan projek kereta nasional ketiga?,” ujarnya. – 16 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.