PERANG poster pilihan raya dianggap sebagai satu pembaziran dan melebihi had yang sepatutnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mencadangkan agar tiada lagi perang poster sedemikian berlaku.

“Kami akan cadangkan tiada lagi ‘peperangan’ atau perang poster dalam pilihan raya.

“Tapi mungkin akan ada pengecualian (untuk kawasan tertentu seperti pedalaman) kerana pengundi mahu kenal calon.

“Perang poster ini banyak masalah. Di mana nak letak, perbelanjaannya pun besar.

“Negara maju ada yang letak satu atau dua di setiap kawasan dan untuk itu kita akan kaji secara mendalam,” katanya

Selain itu, Abdul Rashid juga akan mencadangkan agar undi pos bagi pengundi luar negara dikendalikan sepenuhnya di negara terlibat oleh perwakilan bertanggungjawab.

“Ia termasuk pengiraan kertas undi bagi memastikan mereka yang layak tidak terlepas peluang mengundi.

“Kita akan cadangkan undi pos itu tidak lagi dihantar balik ke sini (Malaysia).

“Perwakilan di sana yang uruskan hal ehwal pengundian, mereka yang edar kertas undi, kumpul kertas undi dan kira di sana,” katanya.

Di samping itu, pihaknya juga sedang mengkaji kaedah terbaik bagi memudahkan urusan memfailkan petisyen keputusan pilihan raya agar dapat didengar di mahkamah.

“Sekarang banyak petisyen ditolak di peringkat bawah kerana masalah teknikal, maka undang-undang perlu diubah suai, supaya menyenangkan semua pihak.

“Cadangan lain termasuk keperluan memberi pendedahan mengenai cara pengundian bermula di peringkat sekolah.

“Usaha itu perlu dimulakan dari peringkat awal dan bukan hanya apabila seseorang mencecah usia 18 tahun kerana golongan muda merupakan pengundi terbesar dalam negara yang perlu dilatih untuk berfikir secara positif, serta matang dalam membuat keputusan,” ujarnya. – 16 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.