SEORANG bakal Perdana Menteri sepatutnya berada di kerusi Timbalan Perdana Menteri, atau apa-apa jawatan dalam kabinet Malaysia.

Menurut Datuk Imran Tamrin, ADUN Sungai Panjang dalam satu wawancara Nothing To Hide Media semalam, kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari ini tidak menunjukkan bahawa Presiden PKR itu bakal menjadi Perdana Menteri Malaysia ke lapan.

“Isterinya, Wan Azizah yang menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri sepatutnya menyerahkan kerusi itu kepada suaminya.

“Jika orang lain boleh buat (untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding di Parlimen Port Dickson) kenapa isterinya tak boleh?”

“Jelas, bahawa Azizah pun tidak pasti akan halatuju suaminya,” kata Imran.

Imran juga mendakwa tidak ada sebarang perjanjian yang membuktikan Anwar Ibrahim Perdana Menteri ke lapan.

Konsensus Pakatan Harapan yang menyatakan Anwar bakal menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad juga tidak boleh diterima pakai kerana ia bukan perjanjian hitam putih untuk mengesahkan kedudukan Anwar.

Terdahulu, Datuk Seri Azmin Ali juga setuju bahawa tidak ada perjanjian hitam putih untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar.

Azmin juga dilihat antara calon ‘kegemaran’ Mahathir kerana bukan sahaja dilantik menjadi menteri kanan sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, tetapi diberi peranan mengendalikan Khazanah Nasional.

Kelebihan itu tidak terdapat pada Anwar Ibrahim yang diwar-warkan sebagai Perdana Menteri seterusnya.

Anwar hanyalah sekadar seorang Ahli Parlimen, yang tidak diperlukan khidmatnya dalam membuat keputusan, di peringkat tertinggi kerajaan. – 17 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.