KEPUTUSAN kerajaan Pakatan Harapan (PH) menyerahkan persetujuan pelaksanaan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) adalah tidak rasional.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mempertikaikan keputusan itu dan menyifatkan ianya sebagai kemenangan buat Dong Jioa Zong (Dong Zong).

“Keputusan kabinet PH untuk meneruskan pelaksanaan tulisan jawi di sekolah venakuler, tetapi hanya setelah mendapat persetujuan PIBG.

“Ini adalah keputusan paling tidak munasabah, tiada rasionalnya dan tidak selari dengan semangat perlembagaan.

“Ia adalah jalan mati untuk Jawi dalam sistem sekolah tersebut. Melihat sikap chauvinis pendukung sekolah vernakular dalam isu ini, tiada PIBG yang akan memberikan persetujuan untuk ia dilaksanakan.

“Di mana rasionalnya kurikulum KPM memerlukan persetujuan PIBG untuk di laksanakan. Apa peranan PIBG dalam memenuhi objektif pembelajaran dan pengajaran?,” katanya.

Mohamad Hasan yang juga ADUN Rantau turut menyifatkan isu tulisan jawi ini hanya merupakan sandiwara kerajaan PH bagi mengalih tumpuan rakyat terhadap isu sebenar yang dihadapi negara.

“Bersatu ingin jadi juara kepada orang Melayu sementara DAP pula mahu dilihat sebagai pejuang sebenar kepentingan bangsa Cina.

“Kedua-dua gagal dalam pementasan mereka kali ini.

“Akhirnya yang menang ialah Dong Jioa Zong, pertubuhan yang digelarkan rasis oleh perdana menteri.

“Desakan Dong Jiao Zong telah menyebabkan tersungkurnya semua anggota Jemaah Menteri dalam mempertahankan wibawa sistem Pendidikan Nasional.

“Tidak pernah terjadi dalam sejarah pendidikan negara ini, pendidikan dipolitikkan sebegini rupa.

“PH telah tunduk kepada desakan Melayuphobia dan Islamophobia yang dijuarai oleh DAP dan penaungnya Dong Jiao Zong,” katanya. – 17 Ogos 2019

1 COMMENT

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.