ISU bantahan Dong Zong terhadap tulisan Jawi baru-baru ini bukanlah isu yang paling besar jika berbanding apa yang pernah berlaku pada tahun 1961.

Syukur pada ketika itu Menteri Pelajaran adalah Abdul Rahman Talib dan Pengarah Pelajaran pula Dr Aminuddin Baki, jadi sistem pendidikan negara dapat dipertahankan sebaiknya.

Kalau ketika itu Menteri Pelajaran jenis sibuk kejar populariti dan sibuk berpolitik serta tidak tegas maka, sistem pendidikan negara sudah lama rosak.

Silap-silap Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar bukan lagi seperti sekarang.

Mungkin negara kita dah lama amalkan sistem pendidikan pelbagai bahasa pengantar.

Tahun 1961 adalah antara tahun yang bersejarah dalam sistem pendidikan negara ini.

Inilah ketikanya di mana pengasas Dong Zong, Lim Lian Geok telah dilucutkan kewarganegaraan Malaysia oleh kerajaan kerana tindakan beliau membantah keputusan kerajaan berkaitan Laporan Pelajaran Rahman Talib 1960 dan Akta Pelajaran 1961.

Ini berikutan bantahan keras beliau khususnya terhadap Perkara 21 (2) yang memberi kuasa kepada Menteri Pelajaran untuk menukarkan mana-mana Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) menjadi sekolah kebangsaan sepenuhnya.

Lian Geok juga ‘mengamuk’ bila Abdul Rahman telah berjaya memujuk 53 buah Lembaga Pengelola sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) untuk menjadi sekolah menengah Jenis kebangsaan Cina (SMJKC).

Hanya 16 buah sekolah pensendirian Cina sahaja yang masih bertegas menolak tawaran beliau (Abdul Rahman).

Sekolah persendirian Cina yang pertama bersetuju menjadi sekolah Menengah Jenis Kebangsaan ialah Penang Chung Ling High School.

Pengetua Chung Ling High School, Mr. Wang Yoon Nien dan Pengerusi Lembaga Pengelola, Mr. Ong Keng Seng telah digelar sebagai pengkhianat besar pendidikan Cina oleh para pemimpin dan penyokong Dong Zong di seluruh negara.

Jadi jangan kita lupa, ramai juga tokoh pendidikan Cina yang turut menjadi ‘mangsa’ perkauman Dong Zong sejak dari dulu lagi.

Selain mereka berdua, dua tokoh masyarakat Cina yang menjadi ahli jawatankuasa Laporan Rahman Talib iaitu Mr. Leong Yew Koh dan Mr. Ong Yoke Lin juga digelar pengkhianat oleh penyokong Dong Zong.

Pada masa itu, ramai juga orang Cina yang mempunyai semangat kebangsaan yang tinggi dan orang Melayu kena tahu sejarah ini.

Mereka sanggup menerima berbagai kejian dari kumpulan Dong Zong semata-mata ingin bersama pemimpin Melayu membina sebuah sistem pendidikan kebangsaan di negara ini walaupun pengorbanan mereka ini jarang didengarkan.

Namun, kesabaran kerajaan ada hadnya dimana perlunya tindakan tegas diambil akibat bantahan berterusan Lim Lian Geok yang ketika itu memimpin Dong Zong, kewarganegaraan beliau telah dilucutkan pada 19 Ogos 1961.

Selepas beliau, tiada seorang pun pimpinan kanan Dong Zong berani menawarkan diri sebagai pemimpin Dong Zong yang baru.

Mungkin mereka mula takut akan menerima nasib yang sama dan sudah mendapat isyarat yangjelas dari kerajaan, “kalau berani, cubalah menentang’.

Begitulah ketegasan kerajaan ketika itu, khususnya Menteri Pelajaran dalam memastikan sistem pendidikan negara ini tidak diganggu-gugat oleh mana mana pihak yang mempunyai kepentingan kaum masing masing.

Jadi jangan anda ingat tak ada orang yang pernah dilucutkan kewarganegaraan kerana isu membantah sistem pendidikan negara.

Selain Lim Lian Geok, penasihat Dong Zong ketika itu bernama Yan Yuan Zhang juga turut menerima tindakan.

Disebabkan beliau menetap di Singapura, beliau telah diharamkan masuk ke Tanah Melayu atas arahan kerajaan.

Sistem pendidikan adalah ‘jiwa negara’ ini dan kerajaan bertanggungjawab memastikan ‘jiwa negara’ ini dipelihara dan terpelihara manakala, Menteri Pelajaran adalah ‘guardian (penjaga)’ sistem pendidikan negara.

Negara Malaysia bertuah kerana pernah mempunyai pemimpin yang tegas dalam mempertahankan sistem pendidikan negara pada tahun-tahun yang mencabar dulu.

Semoga kerajaan hari ini turut mempunyai ketegasan yang sama seperti tahun 1961 yang mempertahankan sistem pendidikan negara sehingga tidak ada yang berani buat perkara yang sama.- 17 Ogos 2019

PENULIS ialah pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia.

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan NTHQiBord*

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.