KERAJAAN bakal menarik balik kerakyatan penceramah antarabangsa Dr. Zakir Naik sekiranya siasatan polis mendapati beliau berniat menjejaskan keamananan negara.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan boleh menarik balik status penduduk tetap (PR) tersebut.

“Kita (kerajaan) boleh tarik balik status penduduk tetapnya jika dia (Zakir) melakukan sesuatu yang menjejaskan kesejahteraan negara ini.

“Kini polis sedang menyiasat sama ada dia melakukannya atau tidak.

“Sudah tentu, jika dia melakukannya, kita perlu menarik balik status penduduk tetapnya,” katanya.

Tun M juga turut memaklumkan bahawa kerajaan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan menghalang Zakir dari membuat ucapan provokatif untuk melagakan kaum di dalam negara ini.

Selain itu, Tun M juga menolak cadangan yang diberi sesetengah pihak yang mahukan beliau menuntut permohonan maaf daripada Zakir buat rakyat Malaysia.

“Saya tak fikir ia akan mengurangkan kemarahan orang ramai.

“Jadi buat masa ini kita serahkan kepada polis untuk menyiasat keseriusan kenyataan yang dibuatnya,” katanya. – 17 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.