DI mana janji manifesto kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang kononnya menjaga kesejahteraan alam sekitar dan rakyat di negara ini.

Lee Chean Chung, PKR Cabang Mahkota berkata, tindakan kerajaan PH hari ini bakal mengulangi kesilapan besar penyambungan lesen Lynas seperti kerajaan terdahulu bgai meneruskan operasinya.

“Kerajaan sepatutnya guna kesempatan terbaik ini untuk menunjukkan komitmen menunaikan janji di dalam manifestonya.

“Jaga alam sekitar dengan tidak menyambung lesen operasi kilang memproses nadir bumi itu yang tamat bulan depan.

“Malangnya, kerajaan turut tertarik dengan propaganda mereka yang pro-Lynas tanpa menghiraukan kehendak rakyat di sekitar Kuantan yang menolak Lynas dengan memilih PH di dua Parlimen iaitu Kuantan dan Indera Mahkota.

“Lynas adalah isu yang sering kami utarakan bukan sebagai modal politik tetapi sebagai tanggungjawab berlandaskan fakta,” katanya.

Menurut beliau, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri mengaku bahawa Lynas menghasilkan bahan sisa toksik yang berbahaya kepada alam sekitar walaupun menyatakan ia dalam jumlah yang kecil.

“Ini bermakna, kerajaan sedar memang terdapat risiko daripada aktiviti di kilang tersebut namun seolah-olah melihat sesuatu yang lain tanpa serius tentang risikonya.

“Sejuta tan metrik dijangka terhasil daripada sisa-sisa kilang Lynas ini bukan jumlah yang kecil.

“Kita tidak tahu dengan tepat di mana sisa ini akan disimpan.

“Apakah kerajaan mahu korbankan rakyat dan alam sekitar di Kuantan dan Indera Mahkota asalkan kerajaan dapat menarik minat pelaburan?,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan PH sepatutnya mengambil sikap seperti ‘kerbau dipegang pada tali, manusia dipegang pada janji’.

“Lynas akan tamat lesennya bulan depan, maka kami merayu agar kerajaan mempertimbangkan semula keputusan yang menyakitkan itu.

“Kami juga menggesa kerajaan negeri tidak membenarkan tapak baharu dibuka untuk penyimpanan sisa tersebut,” ujarnya. – 17 Ogos 2019

1 COMMENT

  1. It is very sad to see that the people are suffering for putting PH into power. Leaders in PH, particularly, the Muslims one should be ethically and morally obliged to fulfill the promises made prior to the previous election. Malaysia’s name is sliding down as the best Muslim country. May God save Malaysia and its people.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.