LETAK jawatan!

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan atau dikenali sebagai Tok Mat mendesak supaya Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik meletakkan jawatan.

Desakan ini adalah ekoran kegagalan Maszlee memperkukuhkan kedudukan bahasa Melayu dalam isu pelaksanaan tulisan Jawi.

Jelas Mohamad, Menteri Pendidikan mempunyai tanggungjawab Perlembagaan bukan sahaja memperjuang dan mempertahankan kedudukan bahasa Melayu tetapi turut memperkukuhkannya.

“Anda telah gagal dalam melaksanakan tanggungjawab Perlembagaan ini. Saudara mesti mengambil pertanggungjawaban atasnya.

“Saudara tahu apa yang wajar dilakukan dan demi tanah air ini, saya mendesak saudara berundur dengan hormatnya,” katanya menerusi hantaran dalam akaun Facebook miliknya hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau juga berkata, keputusan Kabinet Pakatan Harapan (PH) untuk meneruskan pelaksanaan tulisan Jawi di sekolah vernakular tetapi hanya setelah mendapat persetujuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) adalah paling tidak munasabah.

“Di mana rasionalnya kurikulum Kementerian Pendidikan memerlukan persetujuan PIBG untuk di laksanakan. Apa peranan PIBG dalam memenuhi objektif pembelajaran dan pengajaran?,” soalnya lagi.

Menurut Tok Mat, keputusan Kementerian Pendidikan tersebut juga telah menyakinkan semua pihak bahawa isu tulisan Jawi ini adalah sandiwara Pakatan Harapan untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap isu hakiki yang menghantui tanah air sekarang ini.

“Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ingin jadi juara kepada orang Melayu sementara DAP pula mahu dilihat sebagai pejuang sebenar kepentingan bangsa Cina. Kedua-dua gagal dalam pementasan mereka kali ini,” katanya. – NTHQiBORD, 17 Ogos 2019.

1 COMMENT

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.