PENGHINAAN yang dibuat ahli perniagaan Koon Yew Yin baru-baru ini terhadap anggota tentera begitu berat dan tidak boleh dimaafkan.

Tindakan dan tuduhan oleh Yew Yin itu tidak berasas walaupun beliau sudah membuat permohonan maaf.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Melaka, Ahmad Ibrahim menegaskan bahawa pasukan tentera sanggup menggadai nyawa sehingga sekarang dan tidak menyentuh perkara peribadi Yew Yin.

“Tentera tidak pernah ganggu dia dan seharusnya dia tahu tanpa keamanan yang dijaga tentera di belakang tabir ini tidak mungkin dia mampu mencapai kekayaan yang dia ada sekarang.

“Tergamak dia mengeluarkan kenyataan sedemikian yang bukan sahaja mengguris hati anggota tentera yang sedang berkhidmat malah bekas tentera termasuk veteran tentera,” katanya.

Ahmad memberitahu bahawa pihaknya tidak akan melakukan demonstrasi, namun akan mengambil laporan polis terhadap Yew Yin dan berharap beliau akan dikenakan tindakan hukuman semaksimum mungkin.

“Dia perlu dibawa ke muka pengadilan serta dikenakan hukuman semaksimum mungkin supaya jadi iktibar kepada orang lain.

“Kami minta pihak polis mengambil tindakan dan tidak mustahil ia mempunyai perancangan sendiri kerana tidak sampai 24 jam, dia kemudiannya meminta maaf dan apakah motif dia mengeluarkan kenyataan itu.

“Lebih 25 tahun saya bertugas sebagai tentera termasuk di zaman komunis, kenyataan yang dikeluarkannya adalah sangat jahat sedangkan tentera berada di dalam hutan demi menjaga keamanan, keharmonian dan kedaulatan negara.

“Sebahagian ahli PVATM cawangan Masjid Tanah dan beberapa cawangan PVATM di negeri ini sudah membuat laporan polis di Alor Gajah, Rumbia, Ayer Keroh serta di Balai Polis Banda Hilir,” katanya.

Jelas Ahmad,usia bukan halangan sekiranya dipanggil untuk berkhidmat dalam pasukan, beliau sanggup terima dan masih bersemangat untuk jalankan amanah yang diberikan.

“Sehingga sekarang kita masih marah dan ramai yang marah, saya harap anggota tentera teruskan perjuangan dan tetap bersemangat walaupun ada yang mempertikaikan tugas sebagai anggota tentera,” ujarnya. – 18 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.