SEORANG pemimpin DAP menyatakan bahawa mendiang datuknya adalah bekas perajurit yang mempertahankan negara semasa Perang Dunia Kedua dan mahu diberi penghargaan.

Namun, Pesuruhjaya PAS Negeri Perak Razman Zakaria mempertikaikan perjuangan datuk pemimpin DAP itu.

“Bagi sesiapa sahaja atas Pengajian Malaysia atau Sejarah dipelajari, ciapan itu sangat memusykilkan kerana perajurit yang mempertahankan negara ketika itu adalah tentera dari Negara-negara Komanwel.”

“Adapun tentera tempatan adalah dari Negeri-negeri Melayu Bersekutu dengan semuanya berketurunan Melayu. Kerana itu pelik bila Ahli Parlimen dari Perak ini menyatakan demikian,” katanya dalam suatu kenyataan.

Menurut Razman lagi, pihak lain adalah Malayan People’s Anti-Japanese Army (MPAJA) dari pertubuhan Parti Komunis Malaya (PKM) juga dipanggil Bintang Tiga yang menentang atas kebencian berhubung kait perang China-Jepun.

Namun katanya, MPAJA yang mengambil alih pemerintahan Tanah Melayu selama 14 hari selepas kekalahan Jepun, telah menimbulkan huru-hara dan keganasan serta pembunuhan.

“Natijah paling buruk ialah MPAJA atau Bintang Tiga yang terdiri dari ahli-ahli Parti Komunis Malaya ini telah meletuskan pertempuran perkauman khususnya antara orang Cina dengan Melayu hingga merenggangkan hubungan.”

“Kini, adakah pemimpin DAP tersebut cuba mengapikan sentimen perkauman dengan menjulang terbuka mendiang datuknya sebagai bekas perajurit yang mempertahankan negara ini?” kata Razman yang juga Adun Gunung Semanggol

Razman turut mempersoalkan hal ini kerana sebelum ini timbul perlekehan ke atas Angkatan Tentera Malaysia yang digelar “hanya tahu makan dan tidur sahaja” oleh taikun pro-PH, Koon Yew Yin.

Kini katanya setelah martabat para perajurit sebenar negara ini direndahkan, lalu tiba-tiba diangkat tinggi pihak yang bertindak sebaliknya.

“Sebagai ahli politik berkedudukan, kami khuatir ciapan itu menjadi isyarat awal untuk mewajarkan perjuangan Komunis. Apatah lagi menjadi ‘lobi’ untuk mendapatkan satu pengiktirafan negara sebagai jasa atau disahkan mereka,” kata Razman lagi.

Perkembangan ini menunjukkan sedikit demi sedikit DAP melupuskan orang Melayu dan Islam daripada bumi yang pernah dinamakan Tanah Melayu ini.

Jika orang Melayu Islam masih tidak bangkit tidak mustahil akan menjadi Singapura kedua suatu hari nanti. – 19 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.