JARINGAN Melayu Malaysia (JMM) Perak membuat dua laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar semalam terhadap tiga individu termasuk dua pemimpin DAP kerana mencetuskan sentimen perkauman.

Laporan pertama dibuat oleh Ketua JMM Perak, Mohd Suhaili Abu Kassim terhadap Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran; Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P. Ramasamy dan bekas duta Malaysia ke Argentina, Dennis J. Ignatius.

Dalam laporan itu, Mohd Suhaili mendakwa kenyataan ketiga-tiga individu itu yang disiarkan dalam media pro-DAP mencetuskan ancaman sentimen perkauman dan memecahbelahkan perpaduan rakyat negara ini.

Mohd Suhaili juga menjelaskan bahawa kenyataan individu tersebut telah menimbulkan keresahan dalam masyarakat dan menjadikan hubungan sesama kaum dalam negara ini semakin tegang.

Selain itu pengadu juga meminta polis menyiasat dan mengambil tindakan terhadap portal pro-DAP, MalaysiaKini dan Free Malaysia Today (FMT) kerana menyiarkan kenyataan berbaur hasutan
itu.

Laporan yang sama turut dibuat oleh Ketua JMM Parlimen Gopeng, Faizul Akhyar Md Nasir dan Setiausaha JMM Perak, Muhammad Ariff Shah Abdul Wahab.

Kedua-dua laporan itu dibuat berdasarkan tiga laporan berita yang disiarkan Malaysiakini iaitu adalah ‘Kula gesa tindakan, naikkan isu Zakir Naik ke kabinet’ pada 13 Ogos 2019.

Dua lagi laporan disiarkan menerusi portal FMT iaitu ‘Why empower a demagogue like Zakir Naik?’ pada 13 Ogos 2019 dan ‘Zakir Naik should not question royalty of Hindus in Malaysia’ pada 11 Ogos 2019. – NTHQiBord, 19 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.