AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mahu pemimpin politik disekolahkan kembali bagi memastikan lebih memahami Perlembagaan Persekutuan, sejarah Malaysia dan bagaimana negara ini diwujudkan.

Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof yang juga menteri dan timbalan menteri kerajaan Pakatan Harapan (PH) berkata demikian kerana pemimpin politik kini dilihat gagal memahami Malaysia merupakan sebuah negara berbilang kaum.

Menurut beliau, kurikulum pendidikan di sekolah vernakular tidak seharusnya dipolitikkan dan bertujuan untuk kepentingan sesetengah puak atau kaum.

“Contoh isu Jawi, tidak sepatutnya dipolitikkan kerana sudah terkandung dalam Perlembagaan menerusi Dasar Bahasa Kebangsaan.

“Kebanyakan pemimpin politik tidak memahaminya, jadi mereka mesti ‘di sekolahkan dan diajar’ semula supaya boleh membimbing pengikut mereka tentang apa itu Malaysia.

“Kena ada satu cara untuk mendidik mereka ini semua dan mungkin perlu ada program ala Biro Tata Negara (BTN) tapi kali ini melibatkan semua kaum agar dapat memahami Perlembagaan Persekutuan dan bagaimana negara ini diwujudkan,” katanya.

Redzuan menegaskan bahawa mana-mana menteri yang mempolitikkan isu yang telah terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan agar meletakkan jawatan.

“Mereka telah mengkhianati ikrar mereka sendiri serta sumpah yang dilakukan ketika mahu memegang jawatan menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong, ini merupakan satu pengkhianatan.

“Hari-hari disebut tentang bangsa Malaysia tetapi kita sendiri tidak tahu bangsa Malaysia itu bagaimana, adakah bangsa Melayu, Cina, India ataupun pelbagai kaum?

“Sekarang ini adakah kita mahu tunggu Perlembagaan itu dibubarkan baru kita berupaya membentuk semula negara Malaysia?,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan adakah puak yang terlibat ini tidak mahu menjunjung Perlembagaan Persekutuan kerana mahu memusnahkan budaya Malaysia itu sendiri.

“Semua pihak perlu kembali kepada Perlembagaan Persekutuan yang telah dipersetujui dan sekiranya polemik tidak memahami perlembagaan itu tidak dibendung, negara boleh menuju tahap membimbangkan dan lebih buruk boleh musnah.

“Kita sudah nampak hari ini, pergi hotel, mana pergi bahasa Melayu, separuh hotel gagal pamerkan dalam bahasa Melayu, itu yang sepatutnya dijunjung dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – 19 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.