KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) gagal menyediakan peluang pekerjaan sebagaimana yang dijanjikan sehingga menyebabkan rakyat tempatan teraniaya.

Pengerusi Lajnah Pekerja dan Pengguna PAS, Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, keghairahan menteri-menteri PH berpolitik yang keterlaluan telah mengabaikan kesejahteraan rakyat tempatan dalam negara.

“Ia dapat dilihat apabila secara purata 1,625 pekerja dibuang setiap bulan tahun ini berbanding tahun lepas tidak termasuk kedudukan atau jawatan bersangkutan dengan politik.

“Daripada isu penawaran peluang pekerjaan dan pengangguran menjadi kepada isu penindasan ke atas pekerja.

“Keadaan ini menjadikan semua ‘harapan’, janji dan idealisme yang dikemukakan PH tidak lebih daripada kepalsuan serta retorik semata-mata,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang menyifatkan kecanduan politik PH ini yang terlampau mengejar undi telah menyebabkan sikap perkauman semakin membimbangkan sehingga meninggalkan kesan kepada sektor pekerjaan.

“Keadaan makin parah apabila aspek urus tadbir berkaitan antaranya pelaburan asing telah dibayangi kesangsian.

“Hal ini disebabkan negara telah diberi gambaran mempunyai hutang hingga RM1 trilion oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng,” katanya.

Selain itu, beliau mendakwa tindakan tidak cerdik kerajaan PH telah memberikan kelebihan kepada pekerja asing yang akan terus masuk melalui pelbagai projek mega hasil pusingan U pentadbiran.

“Hal itu tidak dapat diterima memandangkan ramai pekerja tempatan diberhentikan dan dikenakan syarat lebih ketat berbanding pekerja asing yang dimanjakan kerajaan PH.

“Ada baiknya para menteri serta timbalan mereka bagi portfolio berkaitan berundur secara terhormat.

“Warga pekerja memerlukan pemimpin dan bukannya politikus yang leka,” katanya. – 19 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.