KETIKA sebilangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Sekolah Jenis Kebangsaan di Lembah Kelang menaikkan sepanduk membantah pelaksanaan tulisan khat dan jawi, lain pula ceritanya di Kedah, lapor Utusan Malaysia.

Di daerah Kuala Muda dan Yan, seramai 22 orang Yang Dipertua PIBG SJK Tamil menyambut baik usaha memperkenalkan warisan negara itu di peringkat sekolah.

Menurut Pengerusi Kedah Tamil Foundation, G. Kumaran, pihaknya menganggap pembelajaran seni dan tulisan itu di sekolah adalah sebagai nilai tambah ilmu kepada generasi muda pelbagai kaum di negara ini selain mampu memupuk hubungan baik sesama rakyat.

Pihaknya menyokong sebulat suara hasrat Kementerian Pendidikan untuk memperkenalkan seni khat dan tulisan Jawi di sekolah-sekolah berkenaan.

“Kita telah mengadakan perbincangan secara bersama dan bersetuju untuk seni dan tulisan ini (khat dan Jawi) diperkenalkan di sekolah untuk generasi muda,” katanya.

Menurut Kumaran, beliau percaya ramai kaum India yang membantah pengenalan tulisan itu di SJKT adalah disebabkan kerana tidak mendapat penerangan secukupnya daripada pihak Kementerian Pelajaran.

“Begitu juga kalangan pemimpin PIBG daerah ini yang sebelum ini membantah disebabkan tidak mendapat gambaran tepat dan jelas mengenai pelaksanaan tulisan khat dan Jawi sehingga menjadi isu sensitif.”

“Setelah mendapat penerangan jelas, kami sebulat suara bersetuju dan sedia menyokong dasar-dasar pendidikan ini,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, tular di media sosial gambar kain rentang di SJKT dan SJKC di Lembah Kelang yang membantah pengenalan tulisan jawi itu.

Asalnya, pengenalan sukatan mata pelajaran ini diwajibkan terhadap semua sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan, SJKT dan SJKC.

Namun, selepas tentangan daripada Dong Zong dan DAP kerajaan terpaksa akur dan mengalah.

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 Ogos lalu membuat keputusan mengekalkan keputusannya sebelum ini tetapi dilaksanakan hanya jika dipersetujui oleh PIBG serta ibu bapa dan murid di SJK tersebut.

Sukatannya juga telah diubah daripada enam muka surat kepada tiga muka surat – 19 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.