PIHAK berkuasa digesa menyiasat pemimpin politik dan pengamal media yang menjejaskan perpaduan kaum dan keharmonian negara, kata Presiden PAS.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, PAS mengikuti perkembangan isu Dr. Zakir Naik dengan cermat seperti dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu atas tujuan yang dilihat boleh mengeruhkan suasana.

Jelasnya, terdapat tiga asas penting yang perlu dihormati dan diberi perhatian segera oleh semua pihak termasuklah pihak berkuasa, parti politik, NGO dan pengamal media, serta Zakir Naik sendiri, bagi menjernihkan keadaan.

Antaranya asasnya, Abdul Hadi berkata, perpaduan masyarakat majmuk sebagai kerukunan hidup  perlu dipelihara dan semua pihak bertanggungjawab untuk menjaga sensitiviti pelbagai kaum serta agama dalam negara.

“Siasatan juga perlu dilakukan terhadap pemimpin politik dan pengamal media yang menjadi ‘makhluk perosak’ yang mencetuskan kegelisahan ini.

“PAS dan pendukung DHPP sentiasa komited membela perpaduan kaum di negara ini, dan terbuka untuk berdialog dengan semua pihak di atas prinsip kebenaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pandangan Abdul Hadi itu disuarakan ketika banyak laporan polis dibuat terhadap menteri pro-DAP termasuk M. Kulasegaran dan P. Ramasamy yang didakwa sengaja mencetuskan sentimen perkauman dengan mengaitkan Zakir Naik.

Zakir Naik menerima tekanan dari pelbagai pihak terutamanya menteri DAP yang mahu mengusirnya dari negara ini walaupun Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad mempertahankan pendakwah kelahiran Mumbai itu.

Selain itu, laporan polis juga dibuat terhadap portal pro-DAP seperti MalaysiaKini dan Free Malaysia Today yang didakwa mengeluarkan artikel berbentuk hasutan dan boleh mengancam keharmonian negara.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, antara asas lain yang perlu ditekankan adalah budaya debat dan dialog sebagai ruang demokrasi yang perlu dihormati.

“Semua pihak perlu bersedia untuk bersemuka dan berdialog secara ilmiah dan berhikmah, demi mencari ‘kebenaran dan kebersamaan’.

“Pihak RTM dan kerajaan negeri wajar memberikan ruang supaya budaya dialog ini dapat disuburkan, sebagaimana yang telah dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan tempoh hari,”

Abdul Hadi berkata, asas ketiga adalah jaminan keselamatan yang perlu dijaga tanpa mengira agama dan bangsa.

Katanya, status penduduk tetap (PR) yang diberikan kepada Zakir Naik adalah hak asasi manusia yang diiktiraf dunia dan negara bertamadun.

“Hak keselamatan ini juga adalah jaminan Islam terhadap sesiapa yang terancam keselamatannya, walaupun terhadap bukan Islam.

“Kerajaan dan agensi berkaitan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu bertegas dalam memberi jaminan keselamatan ini,” katanya. – 19 Ogos 2019.

1 COMMENT

  1. Lebai Adi lah yang menjadi makhlok perosak dengan meniup api perkauman dengan memainkn sentimen ugama dan orang melayu menjadi alat dan bahan ujikaji dan UMNO sebagai barua nya.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.