POLIS Kedah menyiasat kes empat masjid cuba dibakar di negeri itu dalam masa seminggu, dipercayai perbuatan khianat, lapor media tempatan.

Kes pertama berlaku di Masjid Pendang, manakala kes kedua di Masjid Sungai Rambai, juga di daerah Pendang.

Kes ketiga pula menyaksikan perbuatan khianat di Masjid Tok Keling, Jalan Alor Mengkudu, Alor Setar.

Bagi kes keempat yang berlaku di daerah Padang Terap, mimbar serta permaidani masjid di Kampung Padang Setol terbakar juga dipercayai perbuatan khianat.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Noh Idris berkata, polis menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada 8.01 pagi semalam.

“Papan kenyataan digital (screen slide) yang diletakkan di bahagian atas dinding juga turut terbakar.

“Kita percaya kebakaran itu bermula dari mimbar,” katanya.

“Setakat ini tiada saksi melihat kejadian dan tiada barang berharga lain hilang. Forensik JBPM dan PDRM dipanggil untuk membantu siasatan dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan,”

Beliau juga memaklumkan masih belum ada tangkapan dibuat bagi kes keempat-empat masjid yang cuba dibakar.

Kebelakangan ini, Malaysia berada dalam keadaan ‘bersuhu panas’ akibat pelbagai isu kaum termasuk isu penulisan jawi di sekolah dan Dr Zakir Naik.

Pelbagai permasalahan yang timbul dilihatkan tidak menemui solusi biarpun kerajaan mempunyai seorang menteri yang menjaga hal ehwal perpaduan, Waytha Moorthy Ponnusamy. – 20 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.