BUKAN tanggungjawab kerajaan untuk mengambil alih Utusan kerana ia merupakan satu syarikat swasta, demikian kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden PKR.

Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu bahawa kerajaan PH tidak ada tanggungjawab untuk selamatkan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad daripada kemelut yang dihadapi.

“Saya rasa sukar untuk kerajaan ambil alih Utusan kerana itu bukan tanggungjawab kerajaan.

“Ia merupakan syarikat swasta yang menghadapi masalah tapi saya melihat dari segi yang lebih luas.

“Saya tidak tahu cara penyelesaian, mungkin kutip derma sementara kerana isu mendesak mereka adalah gaji dan elaun wartawan dan pekerja.

“Tanpa mengira apa kepentingan politik dan jangan kita asyik dengan isu penutupan Utusan tetapi tidak mengawal perihal wartawan yang tidak dibayar selama berbulan-bulan,” katanya.

Menurut Anwar, amat sukar bagi kerajaan hari ini untuk mengambil tindakan menyelamatkan surat khabar berkenaan kerana ia adalah milik swasta.

“Amat menyedihkan sekiranya Utusan Melayu ditutup kerana pernah melahirkan tokoh-tokoh ternama dalam bidang kewartawanan antaranya, Zainal Abidin Ahmad (Za’aba), Rahim Kajai dan Usman Awang.

“Agak terkesal dan menyedihkan kalau Utusan terkubur.

“Saya antara mangsanya tetapi saya tidak fikir itu mengelirukan dan pengaruhi pandangan saya. Saya melihat Utusan dari sudut dan kerangka yang lebih luas dari segi sejarah kebangkitan rakyat, perjuangan kemerdekaan.

“Andai kata editorial lebih memikir kepada kepentingan semasa dan negara, saya harap Utusan dapat diselamatkan,” katanya. – 20 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.