YANG Dipertua Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (PERKOBF) Terengganu Che Lok Yusof menyatakan ada yang terpaksa menjual lesen kepada pihak lain bagi meneruskan hidup.

Oleh itu, beliau menggesa agar kerajaan tidak membuka semula lesen kontraktor G1 yang dijangka bermula 1 September depan.

Hal ini kerana, kata Che Lok, jumlah kontraktor kelas F yang sedia ada sekarang lebih 2,500.

Jika dibuka permohonan baru di samping kekurangan projek ketika ini mereka berdepan dengan risiko gulung tikar.

“Kontraktor di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus sahaja ada lebih kurang 600 orang. Bayangkan projek hanya ada tujuh untuk dicabut undi tapi yang datang lebih 165 kontraktor.”

“Bagaimana kami mahu cari makan dengan keadaan begini, projek kurang tapi masih mahu keluarkan lesen baharu, ini tidak logik akal,” katanya.

Sejak berlaku pertukaran kerajaan pusat daripada UMNO-BN kepada DAP-PH, pelbagai kekangan bukan sahaja menghimpit kontraktof kelas F, malah membabitkan kelas lain juga.

Selain masalah kekurangan projek, kontraktor juga berhadapan dengan bayaran yang tidak menentu.

Dalam perkembangan lain, Persatuan Kontraktor Kelas F (PKKF) Batu Pahat mahu kerajaan DAP-PH dapat mengembalikan semula martabat golongan kontraktor Kelas F di seluruh negara.

Pengerusinya, Sh Mohd Najib Sh Ali berkata, kontraktor kelas itu yang terdiri daripada golongan bumiputera terus terhimpit apabila berlaku ketidakseimbangan pengagihan tender kelas G1 dan G2.

“Kerajaan sepatutnya berlaku adil sama ada pemberian tender tersebut dilakukan secara terbuka atau rundingan terus. Sehingga April ini, kira-kira 200 ahli PKKF Batu Pahat kini tidak ada sebarang kerja.”

“Kami mohon kerajaan dapat buat agihan projek secara lebih adil dan telus, yang mana kerja ini tidak lagi dimonopoli oleh satu-satu pihak sahaja,” katanya.

Pada masa yang sama beliau berharap kajian semula berkaitan konsesi yang diwujudkan sebelum ini sehingga menyekat ruang dan peluang kontraktor kelas F dapat dilakukan berikutan bilangan kontraktor kelas ini lebih besar. – 20 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.