PRESIDEN Majlis Belia Malaysia (MBM) meluahkan kekesalan dan terkejut dengan kesan yang diterima pihaknya selepas membantah isu had umur belia.

Julfitri Joha menjelaskan tindakan MBM membantah umur belia daripada 40 tahun ke 30 tahun menyebabkan pihaknya menerima perang habis-habisan daripada pihak menteri.

“MBM amat terkejut kerana menerima pantulan kesan yang luar biasa termasuk diperlakukan seperti pihak menteri yang melancarkan perang kepada kami.

“Kami masih sedia berunding walaupun dinafikan hak kerana ‘life is not complicated, people are’.

“MBM mahu peralihan had umur dilakukan secara sukarela.

“Sebahagian besar pergerakan belia telah pun dilakukan secara sukarela bagi memberi laluan kepada pemimpin belia di bawah 30 tahun.

“Namun had umur 35 tahun adalah sebagai ‘masa kecederaan’ bagi yang menghadapi kesukaran mencari pelapis dan bagi yang dianggap ‘late bloomer’,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata bahawa MBM mahu bersama menjayakan agenda peremajaan pergerakan belia namun, tidak mahu ia dilaksanakan secara terburu-buru dan perlu mengikut saluran undang-undang.

“Seperti kata-kata pepatah ‘legal maxim’ iaitu sesiapa yang terburu-buru melakukan sesuatu sebelum sampai masanya, maka akan dihukum dengan tidak mendapat hasilnya.

“Namun yang paling penting kami juga tidak mahu perubahan had umur ini menjadi agenda politik sempit untuk menghukum kelompok-kelompok tertentu akibat dendam dan amarah.

“Sebaliknya peranan kita di dalam Malaysia baharu ini kita seharusnya memaafkan dan merapatkan saf sebanyak mungkin kelompok anak muda,” katanya. – 20 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.