MUFTI Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Mohd. Noor meminta pihak yang memandang serong kepada Dr Zakir Naik berhenti menuduh beliau sebagai ekstremis, penyebar fitnah dan sebagainya, lapor Utusan Malaysia.

Menurut Wan Salim, Zakir Naik cukup hebat dalam bidang ilmu perbandingan agama. Kecemerlangannya berhujah tentang kebesaran Islam menyebabkan beliau dimusuhi oleh mereka yang tidak mampu berdepan dengannya.

Namun, menurut beliau, Zakir sebenarnya seorang yang amat terbuka dan sanggup berdialog dengan sesiapa sahaja secara ilmiah dan rasional.

“Mereka mesti bersikap baik sangka terhadap usaha dakwah yang bertujuan memberi pencerahan mengenai prinsip-prinsip akidah (kepercayaan) dan amalan yang terkandung di dalam ajaran agama Islam di samping berusaha menyingkirkan perasaan fobia atau prasangka terhadapnya.

“Mereka juga perlu tahu bahawa Islam tidak suka memaksa sesiapapun untuk menerimanyanya sebagai anutan,” katanya.

Apatah lagi Islam tercatat di dalam Perlembagaan sebagai Agama Persekutuan yang sering ditafsirkan sebagai agama rasmi Negara.

Maka, ujarnya, selaras dengan keistimewaan itu, Islam selayaknya diberi ruang yang lebih daripada agama-agama lain untuk ditampilkan ke pengetahuan seluruh warga Malaysia supaya difahami segala ajarannya yang sebenar tanpa halangan termasuk usaha menyampaikan dakwah kepada orang bukan Islam.

Sebelumnya, Zakir Naik telah menuntut permohonan maaf daripada Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran, bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy, Duta Malaysia ke Kanada, Datuk Dennis Ignatius, Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang kawasan Bagan Dalam, M. Satees dan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago.

Dalam perkembangan lain, pihak polis telah mengambil keterangan daripada Zakir Naik berhubung ucapannya yang dikatakan mencetus suasana kurang senang dalam kalangan kaum Cina dan India di Malaysia.

Zakir Naik dikehendaki oleh kerajaan India atas dakwaan penggubahan wang haram dan penaja keganasan.

Namun, pihak Interpol menolak kesemua permintaan kerajaan India untuk menangkap Zakir Naik kerana semua pertuduhan tersebut tiada bukti yang kukuh. – 20 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.