PEMUDA PPBM (Bersatu) akan terus mendesak Putrajaya mengharamkan kumpulan pendidikan Cina, Dong Zong dengan cadangan menghantar petisyen itu kepada Yang di-Pertuan Agong.

Menurut Exco Pemuda Bersatu, Muzzammil Ismail, pihaknya akan menyerahkan petisyen yang ditandatangani rakyat kepada Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin sebagai bukti bantahan untuk terus memberi tekanan kepada Dong Zong.

“Ia akan dilakukan selepas petisyen mendapat cukup 100,000 tandatangan. Kami juga dalam pertimbangan menghantar petisyen ini kepada Agong,” katanya.

Petisyen yang dilancarkan Pemuda Bersatu sejak 12 Ogos lalu menerusi laman web change.org mendapat lebih 92,000 sokongan. Sasaran baharu ialah 150,000 tandatangan.

Petisyen ini dibuat susulan bantahan Dong Zong terhadap pengenalan seni khat bagi subjek bahasa Melayu Tahun 4 di semua sekolah, termasuk sekolah vernakular mulai 2020.

Desakan mengharamkan Dong Zong turut disokong pelbagai pihak termasuk Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin.

Selain itu PAS, UMNO dan pelbagai NGO turut mahu Dong Zong diharamkan.

Isu ini bermula apabila Menteri Pendidikan, Maszlee Malik mengumumkan tulisan jawi dalam subjek bahasa Melayu Tahun 4 di dilaksanakan di semua sekolah.

Ekoran itu, Dong Zong yang mewakili masyarakat Cina membantah perkara tersebut.

Dong Zong dengan sokongan DAP akhirnya berjaya mendesak kerajaan mengubah keputusan tersebut.

Akhirnya sekolah vernakular akan melaksanakan pembelajaran tersebut secara pilihan dengan guru dan PIBG diberi kuasa memutuskan kaedah pembelajarannya.

Namun, bantahan keterlaluan Dong Zong sehingga menyebabkan orang Melayu bangkit mempertahankan hak mereka sebagai tuan kepada tanah ini.

Selain Bersatu, NGO lain turut mengadakan petisyen mahu Dong Zong diharamkan. – 20 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.