SYED Saddiq, Menteri Belia dan Sukan hari menafikan bahawa beliau pernah berselisih faham dengan Majlis Belia Malaysia (MBM) mengenai pindaan had umur mengundi.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Muar itu berkata, sekiranya peperangan berlaku sudah pasti beliau tidak akan menghadirkan diri pada program anjuran MBM itu.

“Saya tidak suka berucap guna teks dan lebih rela daripada hati ke hati khususnya bila dengar ucap Julfitri (Presiden MBM) tadi.

“Saya rasa kalau ikut ucapannya seperti kita sudah berperang.

“Kalau berperang, saya tidak ada di sini dan sukar untuk meneruskan perbincangan isu-isu lain,” katanya.

Dalam perkembangan sama, sebelum itu, Julfitri memberi gambaran dan kata-kata yang menyindir seolah-olah Saddiq berperang dengan badan berkenaan sebelum ini.

Laporan media pada awal bulan lalu, mendedahkan bahawa MBM pernah meluahkan rasa kecewa terhadap Saddiq yang mengambil tindakan mengenepikan badan berkenaan dalam merangka pindaan Rang Undang-Undang (RUU) bagi menurunkan had umur layak mengundi kepada 18 tahun.

Julfitri Joha mempertikaikan keputusan kerajaan untuk mengurangkan had umur maksimum yang ditakrifkan sebagai ‘belia’ kepada 30, dan bukannya 35 yang diterima oleh semua badan gabungannya.

“Had umur maksimum 35 telah diterima oleh semua pihak termasuk dipersetujui oleh Syed Saddiq sendiri,” katanya.

Pada 3 Julai lalu, Dewan Rakyat meluluskan RUU Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan), yang antaranya mengubah had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun. – 20 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.