BANTAHAN terhadap pelaksanaan tulisan jawi dan seni khat masih berterusan apabila beberapa buah sekolah vernakular dikesan memasang kain rentang sebagai tanda protes.

Di Rawang, tiga buah sekolah memasang kain rentang membantah tulisan jawi dan seni khat sejak tiga hari lalu iaitu sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil dan dua lagi di SJK Cina.

Difahamkan kesemua kain rentang itu masih digantung sehingga kini sebagai menyuarakan pendirian Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menolak pelaksanaanya seperti diputuskan kementerian.

PIBG SJK Tamil itu turut berkumpul membuat bantahan Sabtu lalu dengan alasan menolak seni khat dalam Bahasa Melayu yang disifatkan tidak sesuai di sekolah itu.

Terdahulu SJK Tamil Batu Caves adalah sekolah pertama dikesan menggantungkan kain tentang yang menulis ‘Kami dari pihak PIBG tidak menyokong dan tidak akan mengajar seni khat dan tulisan jawi’.

Kain rentang bantahan turut dikesan dipasang pada papan tanda jalan di Bandar Baru Bangi.

Mesyuarat Jemaah Menteri Rabu lalu membuat keputusan mengekalkan keputusan supaya pengenalan tulisan jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu tahun empat di sekolah jenis kebangsaan mulai tahun 2020 diteruskan.

Bagaimanapun Kementerian Pendidikan (KPM) berkata, ia hanya akan dilaksanakan jika dipersetujui oleh Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) serta ibu bapa dan murid sekolah jenis kebangsaan.

Mesyuarat Jemaah Menteri turut menetapkan supaya tulisan jawi ini dikekalkan dengan nama pengenalan tulisan jawi dan bukannya khat dan hanya diperkenalkan secara pilihan pada peringkat asas sahaja kepada murid tahun empat mulai tahun 2020, murid tahun lima pada tahun 2021 dan murid tahun enam pada tahun 2022 di sekolah jenis kebangsaan. – 20 OGOS 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.