PENCERAMAH antarabangsa, Dr. Zakir Naik memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia susulan kenyataan kontroversi yang pernah dikeluarkan sebelum ini.

Zakir mendakwa dirinya tidak rasis terhadap masyarakat yang bukan islam di negara ini.

Jelas beliau, apa yang berlaku dalam kenyataannya sebelum ini digunakan sebagai rekaan yang ditambah padanya.

“Saya minta maaf sekiranya ucapan saya mencalarkan hati masyarakat bukan Islam di negara ini.

“Saya selalu mendukung keamanan kerana itulah pendirian al- Quran.

“Misi saya menyebarkan keamanan ke pelosok dunia tetapi malangnya, saya turut berdepan pengkritik yang cuba menghalang misi saya,” katanya.

Beliau juga memberitahu bahawa kenyataannya telah dipetik luar konteks menyebabkan dirinya dituduh sebagai punca masalah kaum yang berlaku dalam negara ini.

“Rasisme adalah kejahatan yang saya tolak dengan keras kerana dalam Quran, ia bertentangan dengan semua pendirian sebagai pendakwah Islam.

“Saya sedih apa yang berlaku menyebabkan orang bukan Islam menganggap saya ini rasis,” katanya.

Zakir bagaimanapun memohon maaf dan menyeru rakyat di negara ini supaya mendengar kembali ucapan penuh di YouTube, Peace TV dan aplikasi Peace TV.

“Saya rasa saya perlu mohon maaf kepada semua pihak yang terguris kerana salah faham ini,” katanya. – 20 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.