INKUES kematian Muhammad Adib Mohd Kassim selesai pada 24 Jun lalu selepas lebih lima bulan berlangsung di Mahkamah Koroner Shah Alam.

Prosiding yang bermula pada 11 Februari 2019 itu diadakan bagi menyiasat punca sebenar kematian anggota bomba itu atas arahan Peguam Negara Tommy Thomas walaupun rakyat mendesak agar Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan (RCI).

Adib meninggal dunia akibat kecederaan dipercayai dipukul perusuh dalam insiden rusuhan di kuil Seafield pada November tahun lalu.

Empat suspek sudah ditahan berhubung kejadian itu tetapi dilepaskan dengan ikat jamin polis dan tiada khabar lagi tentang mereka sejak itu.

Tindakan Tommy mahu inkues dijalankan bagi menyiasat sama ada Adib meninggal dunia akibat dilanggar kenderaan bomba, mencetuskan rasa tidak puas hati rakyat yang curiga tentang kes itu.

Inkues itu berlangsung dengan penuh kontroversi apabila berlaku percanggahan pendapat antara pakar forensik selain percanggahan 30 saksi yang dipanggil ke mahkamah.

Kemuncaknya, Tommy sekali lagi mencetuskn kontroversi apabila campur tangan dalam inkues itu dengan memecat peguam yang mewakili keluarga Adib, Syazlin Mansor.

Kini semuanya sudah berakhir dan rakyat ternanti-nanti keputusan inkues itu.

Mahkamah hari ini mengumumkan keputusan inkues itu akan dibuat pada 27 September, kira-kira lepas 2 bulan inkues tersebut berakhir.

Pengumuman akan dibuat pukul 10 pagi pada hari tersebut. – 21 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.