Timbalan Presiden MCA, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker.

KERAJAAN Pakatan Harapan digesa agar tidak membiarkan syarikat akhbar Utusan Melayu terkubur dan menjadi mangsa politik, kata Naib Presiden MCA.

Datuk Seri Ti Lian Ker berkata Utusan Melayu merupakan institusi dan kesusteraan Melayu yang perlu dilindungi atas nilai tradisi, identiti dan maruah bangsa Melayu itu sendiri.

“Penguasaan bahasa Melayu saya adalah juga hasil daripada pembacaan utusan secara harian dari bangku sekolah lagi,” katanya dalam satu catatan di Facebook hari ini.

Lian Ker antara pemimpin dari Barisan Nasional yang menyatakan sokongan terhadap Utusan Melayu dan meminta rakyat terus membantu syarikat itu dengan membeli atau melanggan akhbar tersebut.

Utusan Melayu berdepan krisis kewangan yang teruk sehingga dilaporkan hampir ditutup kerana tidak mampu lagi menampung kos operasi syarikat, gaji pekerja dan membayar pampasan kepada bekas staf yang mengambil skim pemisahan sukarela (VSS).

Bagaimanapun, khabar angin mengenai penutupan syarikat itu terjawab apabila pihak pengurusan tertinggi Utusan Melayu memutuskan untuk meneruskan operasi.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir berkata, langkah itu diteruskan sekalipun syarikat akhbar itu berada dalam situasi sukar terutama peralihan dunia pemberitaan dalam bentuk media sosial.

Beliau mengakui Kumpulan Utusan sebelum ini banyak dibantu UMNO, namun selepas kekalahan parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) syarikat penerbitan akhbar itu kembali kepada realiti model perniagaan media.

“Tidak benar kita hendak tutup (henti operasi). Betul kita hadapi masalah. Tetapi kita ada pelan untuk meningkatkan perniagaan,” katanya selepas Taklimat Khas oleh Pengerusi Eksekutif di Dewan Besar Kumpulan Utusan di sini hari ini.

Perkembangan itu sekali gus memadamkan spekulasi liar kononnya Kumpulan Utusan akan menghentikan operasinya bermula esok susulan ketidakmampuan menanggung kos operasi.

Abd. Aziz berkata, syarikat turut mengambil keputusan untuk menaikkan harga akhbar Utusan Malaysia daripada RM1.50 senaskhah kepada RM2.00 senaskhah manakala Kosmo! daripada RM1.00 kepada RM1.50 senaskhah mulai Jumaat ini.

Beliau mengharapkan rakyat Malaysia membantu Kumpulan Utusan dengan membeli akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! walaupun dengan kenaikan harga. – 21 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.