DATUK Mahfuz Omar menepis dakwaan penganalisis politik, Prof Madya Dr Rusdi Omar bahawa isu perkauman boleh menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang.

Naib Presiden parti Amanah itu berkata, pandangan yang diberikan terlalu subjektif dan tiada ada pihak yang mampu membaca pemikiran masyarakat yang sering berubah-ubah.

“Sebelum PRU14, isu perkauman yang mengubah kerajaan sedia ada.

“Ketika itu BN memainkan isu dengan menakutkan masyarakat Melayu berkaitan DAP, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila DAP menang banyak kerusi.

“Isu perkauman tidak wajar dijadikan subjek dalam mana-mana penilaian sesuatu perkara, termasuk membuat andaian seumpama itu.

“Saya bersetuju semua pihak harus elakkan membincangkan secara terbuka isu- isu melibatkan perkauman.

“Ianya tidak relevan untuk nyatakan isu perkauman boleh jatuhkan kerajaan PH, kerana jatuh bangun sesebuah kerajaan itu dipengaruhi banyak faktor,” katanya.

Mahfuz juga turut mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak membudayakan pemikiran sempit terutama dalam isu perkauman dan agama.

“Semua pihak harus kembali kepada meja perundingan dan bincang secara harmoni.

“Perkara itu dapat kita saksikan sebelum PRU14, di mana parti politik dan NGO boleh duduk semeja berunding isu-isu kepentingan negara.

“Perkara sama harus dibudayakan kembali dengan memberi tumpuan kepada permasalahan negara agar dapat ditangani dalam usaha menjana ekonomi,” katanya. – 21 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.