USAHA keluarga anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim untuk membuktikan Peguam Negara, Tommy Thomas menghina mahkamah mungkin tidak kesampaian.

Ini kerana Tommy memberitahu bahawa permohonan komital keluarga arwah Muhammad Adib terhadapnya berhubung prosiding inkues bagi mencari punca kematian anggota bomba itu, tidak lengkap.

Komital bermaksud satu proses undang-undang untuk menguatkuasa suatu perintah atau penghakiman mahkamah terhadap pihak yang ingkar.

Dalam kes Tommy, Peguam Negara itu didakwa menghina mahkamah berkaitan prosiding inkues bagi mencari punca kematian anaknya.

Ekoran itu, pada 16 Julai lepas, bapa Muhammad Adib, anggota bomba yang maut dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, tahun lalu, Mohd. Kassim Abdul Hamid, memfailkan permohonan perintah komital terhadap Tommy.

Permohonan sebelah pihak (ex-parte) itu dibuat melalui Tetuan Mohd. Zubir Embong Associate di Pejabat Pendaftar Mahkamah Koroner.

Peguam Kanan Persekutuan S. Narkunavathy memberitahu Mahkamah Koroner di Shah Alam permohonan itu tidak lengkap kerana dakwaan keluarga anggota bomba itu bahawa afidavit Tommy yang didakwa mengganggu inkues serta menghina mahkamah tidak diberikan secara terperinci.

“Pihak pemohon (keluarga Muhammad Adib) tidak memberitahu mahkamah bagaimana afidavit Peguam Negara yang mendakwa mangsa meninggal dunia bukan disebabkan dipukul, mengganggu inkues.

“Mereka sepatutnya memberikan maklumat terperinci berhubung pendirian mereka berkenaan afidavit peguam negara itu.” kata beliau yang mewakili Peguam Negara di hadapan Koroner Rofiah Mohamad.

Terdahulu Peguam Hanif Katri Abdulla yang mewakili keluarga Muhammad Adib mengatakan bahawa afidavit peguam negara pada 3 April lepas yang menyatakan Muhammad Adib meninggal dunia bukan disebabkan kecederaan akibat serangan, jelas menggangu prosiding inkues.

Beliau berkata, Tommy sebagai Peguam Negara tidak boleh mengeluarkan keputusan berhubung punca kematian Muhammad Adib.

“Ini adalah asas dan mahkamah perlu rujuk terhadap kenyataan yang dikeluarkan secara peribadi oleh Tommy,” katanya.

Dalam prosiding hari ini Rofiah turut menetapkan 27 Ogos ini sebagai tarikh untuk memutuskan sama ada boleh atau tidak untuk memulakan prosiding komital terhadap Tommy selepas mahkamah mendengar hujahan Haniff dan Narkunavathy. – 21 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.