Hanya ciplak, tiru dan teruskan idea Barisan Nasional, kata Ketua Pembangkang Ismail Sabri Yaakob kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Harun.

Ismail Sabri dalam satu kenyataan melalui laman Facebook rasmi beliau berkata, projek lampu Diod Pemancar Cahaya atau (LED) merupakan idea kerajaan Barisan Nasional ketika beliau berada di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

“Pagi tadi (semalam) saya terbaca satu berita seperti yang dilaporkan di Berita RTM. Ianya berkenaan Projek Lampu Jalan LED untuk penduduk di kawasan luar bandar,”

“Namun, apa yang ‘menggelikan hati’ saya, program ini dirasmikan oleh dua orang menteri kabinet dan juga seorang timbalan menteri. Kenapa perlu sampai dua orang menteri kabinet?,” soalnya.

“Sebenarnya projek ini merupakan idea kerajaan Barisan Nasional dan telah pun dirasmikan di Bera, Pahang,” tulisnya.

Ismail Sabri juga menjelaskan dengan terperinci bahawa projek ini telah telah lama dimulakan, serta lampu LED juga telah banyak dipasang di seluruh negara.

Menurut beliau, ketika beliau menggalas jawatan menteri, 6,333 unit lampu LED telah diluluskan di negeri Pahang, 792 negeri Sarawak, manakala 447 di negeri Terengganu.

Tambah beliau, kerajaan Barisan Nasional pada ketika itu juga mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta untuk memasang 50,000 lampu jalan kampung jenis LED di seluruh negara.

Semalam, Rina Harun dalam satu kenyataannya mengumumkan inisiatif kerajaan Pakatan Harapan untuk menerangi kampung dengan projek lampu LED dipasang di kampung seluruh Semenanjung Malaysia menjelang tahun 2020.

Rina berkata demikian dalam sidang media Majlis Pelancaran Pemasangan Lampu Jalan Kampung di Kampung Rincing Hilir, Semenyih pada Isnin.

Program itu turut dihadiri Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin.

Kebiasaannya, program yang dirasmikan oleh dua orang menteri penuh merupakan satu projek ‘super’ mega infrastruktur rakyat yang seumpama di Malaysia.

Bukan projek lama yang cuba diperbaharui dan diumumkan semula.

“Tak perlu lah hingga memerlukan dua orang menteri kabinet merasmikan projek Lampu Jalan LED luar bandar ini seolah-olah mereka yang pelopor pembangunan ini,”

“Hanya teruskanlah kerja dan selesaikan amanah rakyat walaupun kalian sekadar menciplak idea kerajaan BN,” sindirnya.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.