SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyahbeku dua akaun milik bekas Pegawai Eksekutif 1Malaysia Developement Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy, semalam.

Pada 12 Julai 2018, sembilan akaun milik Arul Kanda dibekukan pihak SPRM selepas beliau dikaitkan dengan penyelewangan wang 1MDB.

Ekoran itu, Arul Kanda melalui peguamnya, Datuk N Sivananthan memfailkan permohonan pada 19 Ogos lalu untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi menyahbekukan dua akaun saham (CDS) miliknya.

Dalam permohonannya, Arul Kanda mendakwa, tindakan SPRM membekukan akaun mengikut Seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram Dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 adalah tidak sah.

Tambahnya, permohonan menyahbekukan dua akaun CDS itu dibuat susulan sejak dibekukan, tiada sebarang tindakan undang-undang seperti pendakwaan diambil terhadap anak guamnya dalam tempoh 12 bulan.

Sivananthan berkata, pihaknya menarik balik permohonan itu selepas SPRM menyahbeku dua akaun tersebut lebih awal.

“Kami menarik balik permohonan bagi mendapatkan perintah supaya SPRM selaku responden untuk menyahbeku akaun berkenaan,” katanya.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan kemudiannya merekodkan perkara itu sebelum menetapkan 29 Ogos untuk pengurusan kes itu.

Sembilan akaun yang dibekukan sebelum ini termasuk tujuh akaun persendirian dan dua akaun saham CDS.

Dalam pada itu, Sivananthan berkata, tujuh akaun persendirian milik anak guamnya sudah dinyahbeku lebih awal. – 21 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.