TIMBALAN Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali seolah-olah kebal dan tidak diambil sebarang tindakan walaupun beberapa kali tidak menghadiri mesyuarat biro politik parti itu.

Pengerusi Lembaga Disiplin parti, Datuk Ahmad Kasim berkata, setakat ini, tiada surat peringatan diberikan kepada Mohamed Azmin.

“Setakat ini, belum ada apa-apa keputusan lagi. Tidak ada surat peringatan dan ia (isu kehadiran) bukan di bawah lembaga disiplin, sebaliknya terletak di bawah setiausaha agung parti,” katanya.

Semalam Mesyuarat biro politik PKR di Ibu pejabat PKR, Petaling Jaya berlangsung tanpa kehadiran Azmin dan difahamkan itu bukan kali pertama beliau gagal hadir pada mesyuarat yang dijalankan parti itu.

Mesyuarat yang bermula pukul 5 petang semalam dipengerusikan Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebelum ini, Mohamed Azmin telah lapan kali gagal hadir pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) sejak mengekalkan kedudukan sebagai Timbalan Presiden PKR tahun lalu.

Turut hadir ialah Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Naib Presiden, A. Xavier Jayakumar.

Ini adalah mesyuarat mingguan yang dibuat oleh kepimpinan PKR bagi membincangkan mengenai hal-hal dalaman parti.

Bagaimanapun, difahamkan Azmin tidak datang mesyuarat itu kerana menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Khas Mengenai Kesesakan Tambak Johor di Putrajaya.

Mesyuarat jawatankuasa itu dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. – 22 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.