GAGASAN Tiga (G3) menjemput orang ramai untuk menghadiri himpunan aman ‘Al Fatihah Rakyat Malaysia’ solidariti bagi memperingati arwah anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang terkorban akibat insiden rusuhan kuil pada tahun lalu.

Himpunan yang diketuai Pengerusi G3, Dato’ Azwanddin dan timbalannya, Amran Mohd Nor, akan diadakan di depan Masjid Tabung Haji Jalan Tun Razak selepas solat Jumaat esok.

Selain memperingati arwah Muhammad Adib, himpunan itu juga bertujuan mendesak Tommy Thomas dipecat sebagai Peguam Negara kerana kegagalannya mengendalikan kes kematian arwah dengan telus.

Ini merupakan kali ketiga G3 menggerakkan himpunan itu di sekitar Lembah Klang selepas kali pertama diadakan di Masjid Kampung Baru disusuli Masjid Al Husna Bandar Sunway.

Himpunan tersebut merupakan usaha G3 berkempen bagi memperjuangkan keadilan buat Allahyarham Muhammad Adib yang meninggal dunia akibat kecederaan dalam insiden rusuhan kuil di Seafield pada November tahun lalu.

Arwah Muhammad Adib meninggal dunia dipercayai akibat dipukul perusuh tetapi Tommy mengarahkan agar inkues kematian dijalankan bagi membuktikan sama ada Allahyarham meninggal dunia akibat dilanggar kenderaan bomba.

Inkues itu berjalan dengan penuh kontroversi selama kira-kira lima bulan sebelum berakhir pada 24 Julai lalu dan keputusannya akan diumumkan pada 27 September depan. – NTHQiBord, 22 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.